NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Segera gubal RUU dana politik, bendung gejala politik wang, kata C4

Derma diterima harus dihadkan dan dipantau supaya parti atau ahli politik tidak dibeli oleh ahli korporat atau kumpulan besar, kata pemangku CEO C4, Pushpan Murugiah.

PETALING JAYA: Kumpulan anti-rasuah, The Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) menggesa kerajaan segera melaksanakan penggubalan rang undang-undang (RUU) pendanaan politik untuk membendung gejala politik wang.

Pemangku CEO, Pushpan Murugiah, berkata perbelanjaan parti politik semasa pilihan raya harus dipantau supaya kegiatan politik wang tidak berlaku.

“Derma-derma yang diterima harus juga dihadkan dan dipantau supaya parti atau ahli politik tidak dibeli oleh ahli korporat atau kumpulan yang besar.

“Kami memahami parti politik juga memerlukan dana untuk kegiatan politik, dan penggubalan RUU pendanaan politik supaya kegiatan ini lebih telus dan dapat mengurangkan kegiatan rasuah,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa hampir semua calon PRU15 yang menang menawarkan rasuah.

Bekas perdana menteri itu mendakwa parti calon terbabit membelanjakan ratusan juta ringgit untuk berkempen. Malah, katanya, rasuah diberikan secara terbuka dan ramai yang menerima rasuah sebelum mengundi.

Mahathir berkata PRU15 ialah pilihan raya paling korup pernah diadakan di Malaysia.

Pushpan berkata dalam kes yang didakwa Mahathir itu, beliau mencadangkan undang-undang pilihan raya juga harus diperketatkan.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga bertanggungjawab menyiasat kes politik wang dan mendakwa mereka yang terlibat.

Sementara itu, Pengerusi Bersih, Thomas Fann, berkata bagi membendung politik wang dan rasuah, polis dan SPRM perlu bertindak atas laporan rasuah, manakala peguam negara perlu mendakwa pesalah supaya ada pencegahan terhadap politik wang.

Beliau juga sependapat dengan C4 bahawa kerajaan perlu menggubal RUU pendanaan politik dan tidak melambatkan proses itu.

“Ini supaya pembiayaan dan perbelanjaan kempen menjadi telus dan ada akauntabiliti.

“Terdapat keperluan untuk mengawal selia di mana pihak mendapatkan dana untuk memastikan sumber itu sah, dan tidak terikat dengan penderma korporat yang akan membawa kepada rasuah selepas pilihan raya,” katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo