NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PENGHARAMAN JUDI - BILA GILIRAN KERAJAAN PUSAT?

PENGHARAMAN JUDI - BILA GILIRAN KERAJAAN PUSAT?

1. Tahniah YAB DS Muhammad Sanusi Md Nor yang telah secara rasmi menamatkan semua lesen judi seperti mana yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada 14 November 2021.

2. DAP Kedah menjadi manusia pertama dalam Kedah yang menyatakan bantahan terhadap keputusan ini dan mengharapkan Kerajaan Negeri dapat pertimbang keputusan ini.

3. DAP melalui Biro Undang-Undang membantu empat orang memfailkan saman mencabar keputusan ini. Saman difailkan melalui Messr Karpal Singh & Co pada 19 November 2021.

4. Antara hujah dikemukakan oleh DAP adalah Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan tindakan itu mencabuli kebebasan peribadi orang bukan Islam. 

5. Saya berpandangan, pertamanya DAP tidak boleh bercakap mewakili mana-mana agama atau bangsa. Hujah dangkal Malaysia berbilang kaum merupakan alasan DAP membela tokey-tokey judi. Cuba DAP sebut mana-mana agama dalam dunia ini yang membenarkan judi?

6. Dari aspek sosial juga, judi ini memberikan kesan yang sangat besar. Satu kajian oleh Shaw et al.(2014) yang diterbitkan oleh Universiti Cambridge mendapati perjudian menyumbang kepada kegagalan sebuah keluarga, menganggu perkahwinan, membawa kepada kadar perceraian yang tinggi serta penderaan dan pengabaian kanak-kanak.

7. Selain itu, seorang pakar jenayah dari Universiti Sains Malaysia P. Sundramoorthy berkata dengan pembatalan lesen judi ini, akan muncul lebih banyak premis perjudian tanpa lesen. 

8. Berkenaan dakwaan ini, saya yakin ianya bukan hanya kerana penutupan pusat judi berlesen. PDRM melaporkan serbuan judi haram dalam talian meningkat dari 779 serbuan pada 2020 kepada 1528 pada 2021. Ini menunjukkan judi haram tetap wujud walaupun pusat judi berlesen disediakan. 

9. Apa yang dibuat oleh Kerajaan Kedah adalah selaras dengan bidang kuasa Kerajaan Negeri. Tiada siapa berhak pertikaikan tindakan Kerajaan Negeri. Saya juga yakin, tindakan ini merupakan kehendak rakyat Kedah secara keseluruhan tidak mengira bangsa dan agama. 

10. Langkah seterusnya merupakan bidang kuasa Kerajaan Pusat melalui Kementerian Dalam Negeri dan PDRM. Saya yakin pihak PDRM melalui Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah mampu membanteras judi haram ini. 

11. Persoalan yang timbul, bilakah Kerajaan Pusat akan membatalkan dan mengharamkan judi? Saya sarankan kepada YAB Perdana Menteri ke-10 untuk segera mencontohi tindakan Kerajaan Kedah, Kelantan dan Terengganu ini. PN yang kononya menerima dana judi pula haramkan judi, PH-BN bila lagi?

12. Dengan kuasa yang ada pada KDN dan PDRM, tentu boleh digunakan sebagai jentera penguatkuasaan dibantu oleh penguatkuasa PBT Negeri. Kalau Menteri KDN tidak mampu atau tidak berani (kerana takutkan DAP), saya sarankan, lantik YAB DS Sanusi Md Nor sebagai Menteri KDN dan beri kuasa sepenuhnya kepada beliau. InsyaAllah semua pusat judi dan maksiat akan dihapuskan sepenuhnya. 

Nurul Islam Mohamed Yusoff

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo