NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengerusi DAP Melaka umum letak jawatan

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li mengumumkan peletakkan jawatan beliau sebagai Pengerusi DAP Melaka, hari ini.

Damian berkata keputusan tersebut diambil kerana komitmen kerja sebagai peguam menyukarkan beliau untuk menjalankan peranan sebagai pengerusi DAP Melaka sepenuh masa.

“Saya telah maklumkan kepada jawatankuasa (DAP Melaka) mengenai keputusan saya ini.

“Selepas saya jelaskan mengenai komitmen kerja saya sebagai peguam, mereka menerima dan menghormati keputusan saya,” kata Damian kepada Free Malaysia Today.

Jelas Damian, beliau menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan itu ketika mesyuarat jawatankuasa negeri pada Selasa lalu di ibu pejabat DAP Melaka.

Tambahnya, surat perletakan jawatan akan diserahkan dalam tempoh yang terdekat.

Menurut Damian, beliau beberapa kali menyatakan hasrat untuk meletak jawatan disebabkan faktor yang sama namun ditolak oleh jawatankuasa negeri.

“Kerana faktor kerja, saya beberapa kali tidak dapat hadir ke program-program atas kapasiti sebagai pengerusi DAP Melaka.

“Jadi saya fikir, saya perlu bertanggungjawab dan lepaskan jawatan ini untuk kebaikan parti,” katanya.

Menurut Damian, beliau akan kekal sebagai ahli jawatankuasa DAP Melaka dan Ketua Biro Guaman DAP Melaka.

Mengenai pemilihan pengerusi DAP Melaka yang baru, Damian berkata, perkara tersebut akan dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa DAP Melaka pada minggu hadapan.

Damian dilantik sebagai Pengerusi DAP Melaka bagi menggantikan Tey Kok Kiew yang meletak jawatan susulan kekalahan parti itu dalam pilihan raya negeri pada 2021.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo