NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pembantu Ahli Parlimen disiasat polis gesa Pinda Akta Komunikasi, elak telefon dirampas

Noor Suhana Ishak dan Farhan Iqbal akan dipanggil polis untuk disiasat kerana membuat jenayah fitnah dan menyalahgunakan kemudahan internet berkaitan satu hantaran Twitter.

PETALING JAYA: Pembantu Ahli Parlimen yang disiasat atas dakwaan menyalahgunakan kemudahan rangkaian susulan kenyataan di Twitter mengaitkan Pemuda Umno dengan kekecohan pada ceramah Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar tahun lepas menggesa Akta Komunikasi dan Multimedia dipinda.

Noor Suhana Ishak, pembantu Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman, berkata bahawa “kebimbangan terbesar” mereka adalah telefonnya dirampas polis di bawah akta terbabit.

Beliau menggesa akta itu dipinda supaya siasatan polis tidak melibatkan rampasan harta benda seperti telefon.

“Telefon kami merupakan salah satu alat terpenting sebagai seorang pembantu kepada menteri atau Ahli Parlimen,

“Kalau saudara boleh, selepas ini pindalah akta ini supaya siasatan tidak menyebabkan hak milik kami dirampas,” katanya di Twitter.

Turut disiasat bersama Suhana ialah setiausaha akhbar Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Farhan Iqbal.

Suhana turut menanda Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil di Twitter, sambil menambah bahawa Akta Komunikasi dan Multimedia terletak di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

Katanya, polis sudah mempunyai tangkap layar akaun Twitter mereka bagi tujuan siasatan dan mereka juga sudah memberikan kerjasama sepenuhnya.

Terdahulu FMT melaporkan Suhana dan Farhan akan dipanggil polis untuk disiasat kerana membuat jenayah fitnah dan menyalahgunakan kemudahan internet berkaitan satu hantaran Twitter.

Dalam hantaran di Twitter miliknya, Suhana berkata, beliau “dengar cerita” ahli Pemuda Umno yang mengganggu ceramah presiden Muda tersebut.

Bagaimanapun, dalam hantaran Twitter yang lain, Suhana menjelaskan bahawa beliau hanya dengar cerita bahawa Pemuda Umno dalang kekecohan itu.

Dalam video kejadian itu yang dimuat naik di media sosial menunjukkan kumpulan 30 orang yang bermotosikal itu turut membuat bising dan menjerit memanggil Syed Saddiq sebagai penipu.

Anggota polis juga dilihat menghalang kumpulan itu daripada menghampiri lokasi ceramah.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo