KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan parti tidak boleh menghalang mana ahli atau pemimpin yang ingin bertanding dalam merebut jawatan tertinggi.

Tegasnya, tindakan tersebut jelas bertentang dengan konsep demokrasi yang sepatutnya dijulang.

"Kita kena sematkan konsep demokrasi dalam parti sebelum kita berdepan dengan pilihan raya umum (PRU) yang dijangka diadakan pada 2027 nanti.

"PRU 2027 merupakan pilihan raya sebenar (dan) juga ibu segala demokrasi bukan sahaja melibatkan ahli UMNO tetapi semua parti politik dan juga rakyat yang tidak masuk politik.

"Sebab itulah kita kena amalkan dalam UMNO ini bahawa kita mesti beri kepada semua ahli kita peluang untuk buat keputusan (pilih pemimpin)," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Eksklusif Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang disiarkan menerusi FB Live UMNO Online pada Khamis.

Tambah Johari yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur lagi, UMNO perlu membuktikan parti tidak menutup sebarang pintu demokrasi kepada semua ahlinya.

"Kita mahu beritahu rakyat di luar sana bahawa parti kita amalkan konsep demokrasi yang sebenar. Parti tidak boleh putuskan itu dan ini.

"Meskipun mereka ikut (secara dasarnya) tetapi di dalam hati tidak ikut. Ada cerita di belakangnya lagi sakit hati," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan seramai 140 Ketua UMNO Bahagian sebulat suara tidak mahu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata, mereka sepakat memohon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertimbangkan perkara tersebut, kerana UMNO pada saat ini perlu diperkukuhkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.