NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS dukung politik matang, nafi jaja budaya ekstrimisme

story-image
PAS Selangor hari ini menegaskan bahawa parti itu  tidak pernah menjaja mahupun membawa budaya ekstrimisme, sebaliknya ia menghormati semua budaya, kepercayaan dan tradisi kaum lain.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas seorang ahli parlimen Amanah menghantar memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, menggesa siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang atas dakwaan ekstremisme agama.

Walaupun kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi tidak menyebut mengenai memorandum atau Amanah itu, ia jelas bertujuan untuk menangkis persepsi negatif terhadap parti itu.

Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

Yunus berkata PAS Selangor tidak pernah menjaja mahupun membawa budaya melampau yang bertentangan dengan agama, sebaliknya mahu membenteras sebarang bentuk politik perkauman yang sempit yang merugikan rakyat dan negeri itu.

“PAS pernah berada di dalam kerajaan di negeri Selangor dari tahun 2008 – 2018 dan rekod membuktikan bahawa ahli-ahli exco PAS, adun-adun, ahli-ahli majlis PBT, ketua-ketua kampung dan para pegawai lantikannya semuanya telah berkhidmat kepada setiap lapisan masyarakat berbilang kaum di Selangor dengan bersih dan cemerlang. 

“Tidak ada seorang pun wakil PAS Selangor yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah mahupun kesalahan jenayah lain sepanjang tempuh PAS dalam kerajaan,” katanya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah

Yunus juga menegaskan bahawa PAS akan memastikan ahli-ahlinya kekal memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Selangor; memelihara keamanan di negeri itu dan menghormati budaya, adat dan agama kaum lain serta mematuhi undang-undang dan peraturan negara dan negeri dalam setiap aktiviti dan kegiatan.

“Menjelang Pilihan Raya Umum Negeri Selangor, PAS dan rakan-rakannya di Selangor akan menjunjung amalan dan proses demokrasi dan akan terus bekerja meyakinkan rakyat negeri ini agar membawa perubahan ke arah kebaikan buat negeri ini,” tambahnya.

Pengkritik mendakwa PAS menjaja naratif perkauman dan memecahbelahkan perpaduan rakyat semasa pilihan raya umum ke-15 tahun lalu, dengan Hadi selaku presiden parti adalah penghasut utama.
Sany Hamzan, Ahli Parlimen Hulu Langat

Ahli Parlimen Hulu Langat Sany Hamzan - yang menyerahkan memorandum kepada Sultan Sharafuddin semalam - berkata Hadi telah menyebarkan sentimen kebencian terhadap budaya lain di Malaysia dan ini mesti dihentikan.

“Oleh itu, saya meminta pihak berkuasa yang berkenaan iaitu Sultan Selangor dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengambil tindakan segera terhadap Abdul Hadi sebelum terlambat,” kata Sany.

Sultan Sharafuddin adalah pengerusi MKI. Baginda juga sebelum ini pernah tidak bersetuju dengan pemimpin PAS.

Sebelum ini, pada Jun lalu, baginda  mengkritik menteri hal ehwal agama ketika itu Idris Ahmad - yang merupakan naib presiden PAS - selepas dia menggesa umat Islam untuk tidak menghadirkan diri pada sambutan Bon Odori yang diadakan di negeri itu.

Sultan Sharafuddin - yang menghadiri perayaan Jepun pada 2016 - berkata ia adalah amalan budaya semata-mata dan tidak melibatkan unsur keagamaan atau ritual yang boleh memesongkan akidah umat Islam.

Baginda bertitah Idris tidak sepatutnya menggunakan Jabatan Hal Ehwal Agama (Jakim) untuk menimbulkan kekeliruan, dan perlu belajar membezakan antara budaya dan agama.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo