NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Negara membangun berdepan cabaran urus risiko inflasi, sara hidup

Tengku Zafrul semasa sesi ‘Living with Risk’ pada WEF 2023 di Davos, hari ini - Foto BERNAMA


DAVOS: Negara membangun dan ekonomi sedang pesat membangun berdepan cabaran dalam mengurus dan menangani risiko yang muncul akibat daripada inflasi, kos hidup tinggi, perubahan iklim, hutang dan ketegangan geopolitik. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata risiko jangka pendek adalah kos hidup dari perspektif pasaran membangun dan ekonomi sedang pesat membangun. 

"Isu kos hidup bermula malahan sebelum pandemik lagi dan pandemik telah memburukkan lagi keadaan.

"Kumpulan rentan golongan paling terkesan dan negara-negara yang tidak mempunyai kedudukan kewangan kukuh terjejas lebih teruk," katanya semasa sesi 'Living with Risk' pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023, di sini, hari ini.


Justeru, katanya, bagi menangani cabaran dan risiko berkenaan, negara dan ekonomi membangun perlu diberikan masa yang secukupnya untuk berbuat demikian.


"Kita semua mempunyai matlamat akhir yang sama tetapi hala tuju tidak boleh ditentukan oleh kumpulan tertentu. Setiap negara mempunyai cabarannya tersendiri," katanya. 

Sesi itu dikendalikan oleh Timbalan Pengarang Wall Street Journal, Kimberley Johnson. 

Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Splunk, Gary Steele; dekan Blavatnik School of Government of the University of Oxford, Ngaire Woods; dan Presiden Observer Research Foundation, Samir Saran.


Tengku Zafrul, yang mengetuai delegasi Malaysia ke WEF seterusnya menjelaskan kejadian banjir di Asia Tenggara yang kini berlaku lebih kerap dan lebih buruk berbanding sebelum ini. 

"Sesetengah negara tidak dapat mengimbangi risiko jangka pendek dan jangka panjang disebabkan kekangan sumber. Saya berkhidmat di Kementerian Kewangan sebelum ini dan banyak negara terpaksa menaikkan defisit mereka sebanyak dua kali ganda, paras fiskal sangat terhad dan kini berdepan cabaran pada masa depan," katanya. 

Pemulihan daripada pandemik juga tidak sekata, katanya, sambil menambah Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia juga beberapa kali menyemak semula menurun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global. 

Menurutnya, pelaburan ke ekonomi membangun merosot sebanyak 70 peratus semasa pandemik dan 50 peratus semasa krisis kewangan. 

"Oleh itu, perlu ada hala tuju jelas, (terutamanya) bagi negara-negara yang sedang pulih semula daripada pandemik dan pada masa yang sama berdepan risiko. 

"Kebanyakan ekonomi membangun dipacu oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mereka tidak mempunyai sumber untuk mematuhi garis masa yang diberikan kepada mereka," katanya. 

Selain itu, pasaran juga perlu faham bahawa kerajaan secara sendirian tidak boleh menyelesaikan semua isu-isu risiko. 

"Perlu ada kerjasama dengan syarikat dan masyarakat. Pendekatan keseluruhan negara perlu diambil dalam menangani risiko," katanya. 

-BERNAMA





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo