NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mangsa banjir di Sabah dan Pahang meningkat, Johor semakin baik

Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Pahang terus meningkat manakala di Johor mula menunjukkan trend penurunan setakat jam 8 malam ini. - Gambar fail


KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Pahang terus meningkat manakala di Johor mula menunjukkan trend penurunan setakat jam 8 malam ini.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 10,312 orang daripada 3,564 keluarga ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah, berbanding 8,523 orang daripada 2,966 keluarga petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan Kota Marudu masih menjadi daerah mempunyai mangsa teramai dengan 7,358 orang daripada 2,553 keluarga di 12 PPS.
Menurut kenyataan JPBN Sabah, seramai 2,160 orang (795 keluarga) ditempatkan di sembilan PPS di Pitas, manakala 664 orang (187 keluarga) dipindahkan ke sembilan PPS di Paitan.
Di Tawau, seramai 109 orang ( 24 keluarga) dipindahkan ke sebuah PPS dan Telupid seramai 21 orang (lima keluarga) dipindahkan ke dua buah PPS.
"Jumlah mangsa banjir di Pitas dijangka meningkat, di tiga daerah lain dijangka kekal, dan di Telupid jumlah mangsa banjir dijangka menurun," menurut kenytaan itu.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir di Rompin bertambah kepada 353 orang (106 keluarga) pada malam ini, berbanding 327 orang (99 keluarga), tengah hari tadi.
Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan PPS Kampung Setajam kekal dengan 165 mangsa, PPS Kampung Rekoh (122 mangsa) dan PPS Balai Raya Bukit Lepas (40 mangsa) manakala sebuah lagi PPS dibuka petang tadi iaitu di Balai Raya Kampung Denai yang menempatkan 26 mangsa.
Paras Sungai Keratong di Rompin masih melebihi paras bahaya 23 meter (m) apabila mencatatkan bacaan 24.54 m malam ini dengan trend menurun.
Di JOHOR, situasi banjir di negeri itu semakin baik malam ini dengan jumlah mangsa terus menurun kepada 3,328 orang berbanding 3,676 orang pada jam 2 petang tadi.
JPBN Johor, dalam kenyataan malam ini, mmemaklumkan Muar telah pulih sepenuhnya daripada banjir menjadikan hanya enam daerah iaitu Segamat, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Tangkak dan Batu Pahat yang masih terjejas dengan bencana itu.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 35 PPS masih aktif dengan Mersing kekal daerah paling terjejas melibatkan seramai 1,792 orang, diikuti Kluang (780), Kota Tinggi (417), Batu Pahat (209), Segamat (115) dan Tangkak (15).
Sementara itu, lima sungai di negeri itu juga masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat dengan bacaan 6.43 m; Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Segamat (19.08 m); Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (15.42 m); Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar (3.35 m); dan Sungai Endau, Mersing (2.83 m).
-- BERNAMA



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo