NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bekas pimpinan DAP pernah sokong judi dihapuskan

DAP PERNAH MENYOKONG SUPAYA AKTIVITI PERJUDIAN DIHAPUSKAN
[FAKTA 1]
Ahli Parlimen DAP YB Tuan Lau Dak Kee dari kawasan Pasir Pinji (kini dikenali sebagai Ipoh Timur), pernah berucap di Dewan Rakyat menyokong dan menggesa supaya semua bentuk perjudian hendaklah dihapuskan. 

Merujuk kepada Penyata Rasmi (hansard) Dewan Rakyat bertarikh 17 Oktober 1989, Lau Dak Kee menyatakan bahawa semua agama termasuk Islam, Budha dan Kristian tidak mengizinkan aktiviti perjudian dihalalkan. 

Bahkan, beliau dengan tegas menyatakan bahawa perjudian akan merosakkan akhlak manusia dan tidak membawa apa-apa manfaat kepada rakyat Malaysia. 

Menurut beliau lagi, tidak wajar mengorbankan moral seorang manusia semata-mata untuk mendapatkan hasil cukai daripada aktiviti perjudian. 

Kesungguhan Lau Dak Kee untuk menghapuskan aktiviti perjudian ini juga dapat dilihat apabila beliau bangun bertanyakan soalan kepada pihak Kerajaan Persekutuan mengenai langkah-langkah positif yang diambil untuk menghapuskan semua aktiviti perjudian di dalam negara ini. 
[FAKTA 2]
Pendirian YB Tuan Lau Dak Kee di atas turut senada dengan ucapan YB Tuan Kerk Kim Hock (DAP-Kota Melaka) di Dewan Rakyat pada 17 Oktober 2000. 

Ketika Kerk Kim Hock mengambil bahagian di dalam perbahasan mengenai Akta Rumah Perjudian Terbuka (Open Gambling House), beliau menyatakan bahawa kesan daripada aktiviti perjudian telah menyebabkan orang yang terlibat dengannya menderita dan mengalami kerugian ribuan ringgit. Beliau turut menggesa supaya tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap aktiviti perjudian perlu dilaksanakan secara serius khasnya daripada pihak PDRM. 

Bahkan, Kerk Kim Hock menyatakan terdapat pandangan supaya PAS perlu diberi kepercayaan memegang kuasa politik di Melaka ketika itu untuk menguatkuasakan undang-undang bagi membanteras aktiviti perjudian. 

________

Berdasarkan 2 fakta di atas, amat jelas bahawa DAP melalui 2 orang Ahli Parlimennya pernah menyokong supaya aktiviti perjudian di dalam negara ini dihapuskan. 

Ianya amat berbeza dengan pendirian DAP Kedah melalui kenyataan YB Teh Swee Leong yang tidak bersetuju dengan tindakan YAB Menteri Besar Kedah menamatkan lesen premis perjudian di seluruh Negeri Kedah bermula 1 Januari 2023. 

Swee Leong turut menyatakan tindakan menamatkan lesen judi tersebut kononnya akan berlaku ketidakharmonian kaum. Terdapat juga pandangan lain yang menyatakan tindakan ini juga akan turut merugikan Kerajaan Negeri kerana tidak dapat mengutip cukai daripada premis perjudian. Kedua-dua hujah ini disangkal dengan jelas oleh hujah yang bernas daripada Tuan Lau Dak Kee dan Tuan Kerk Kim Hock seperti yang dinyatakan sebelum ini. 

Kesimpulannya, isu penamatan lesen premis judi ini bukannya isu politik kepartian atau perkauman. Ianya adalah isu moral dan kemasyarakatan bersifat sejagat dan 'universal' yang perlu didokong bersama oleh semua pihak. 

Justeru, isu ini amat tidak wajar dipolitikkan oleh DAP semata-mata untuk meraih undi daripada masyarakat Cina yang menjadi tempat pergantungannya. 

DAP sepatutnya terus menyokong tindakan Kerajaan Negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan dalam usaha membanteras amalan perjudian yang dilihat menjadi punca kepada kerugian harta, kerosakan moral dan kemusnahan akhlak masyarakat, sama seperti yang pernah disuarakan oleh pemimpin DAP terdahulu. 

Sebelum ini, Pengerusi Biro Undang-undang DAP Kebangsaan Ramkarpal Singh memfailkan semakan kehakiman terhadap tindakan Kerajaan Negeri Kedah menamatkan lesen premis perjudian. 

Bagaimana pula pendirian mereka terhadap kenyataan 2 Ahli Parlimen mereka sendiri yang pernah menyokong supaya dihentikan aktiviti perjudian? 

Afnan Hamimi
Ahli Parlimen Alor Setar
5 Januari 2023

#AfnanHamimi
#alorsetar
#tamatlesenjudidikedah
#DAP


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo