NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Desas-desus kerajaan Sabah bakal bertukar, Warisan tangguh sidang media

Pihak media dan pemimpin Warisan menunggu lebih dua jam di Pacific Sutera Harbour untuk sidang media oleh Shafie Apdal yang kemudiannya ditangguhkan.
KOTA KINABALU: Sidang media Presiden Warisan, Shafie Apdal yang dijadualkan berlangsung di Magelan Sutera Harbour, di sini, hari ini ditangguhkan.

Wakil parti berkenaan memaklumkan perkara itu kepada pihak media yang telah menunggu lebih dua jam untuk sidang media yang sepatutnya berlangsung jam 4.30 petang tadi.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan mengapa sidang media berkenaan ditangguhkan namun wakil parti itu meminta maaf kepada wakil media yang hadir.

Sidang media yang sepatutnya diadakan itu hadir ketika desas-desus mengatakan kerajaan Sabah bakal bertukar tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Namun, tiada kelibat Shafie di lokasi sidang media walaupun hampir kesemua wakil rakyat mereka hadir.

Sementara itu, sumber memberitahu FMT yang Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Bung Moktar Radin juga sepatutnya hadir ke sidang media itu.

Bung juga dikatakan telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Umno di pejabat parti itu, di sini, namun tidak dipastikan tujuan perjumpaan berkenaan dibuat.

Khabar angin mengatakan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor bakal tumbang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin GRS tampil menafikan perkara itu dan menegaskan khabar angin terbabit hanya mahu menjadikan politik di negeri ini tidak stabil.

Kerajaan negeri yang diterajui Hajiji kini mempunyai 53 daripada 79 (termasuk ADUN dilantik) kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerusi berkenaan ialah 29 daripada GRS dan 17 daripada Barisan Nasional (BN), manakala sokongan lain adalah daripada parti mesra kerajaan iaitu parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) sebanyak tiga kerusi, PAS (satu), Parti Harapan Rakyat Sabah (satu), Parti Bangsa Malaysia (satu) dan Bebas (satu).

Sementara itu, pembangkang di Sabah memiliki 26 kerusi iaitu 19 daripada Warisan dan tujuh daripada Pakatan Harapan (PH).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo