NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zuraida kini boleh rancang tinggalkan politik - penganalisis


Sudah tiba masanya untuk bekas ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin merancang meninggalkan dunia politik selama-lamanya, kata penganalisis politik.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya (UM) Mohamad Tawfik Yaakub berpandangan demikian susulan pemecatan Zuraida dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) bersama sepuluh anggota lain.

Mohamad Tawfik berkata pergerakan politik Zuraida sebenarnya sudah lama menemui penamat sebaik saja dia mengkhianati PKR dan Pakatan Harapan (PH) dua tahun lepas.

"Pergerakan politik Zuraida sudah tidak relevan lagi dalam politik negara apabila beliau sendiri telah mengkhianati PKR atau secara keseluruhannya PH menerusi apa yang dilakukan dalam Langkah Sheraton.

Mohamad Tawfik Yaakub

"Zuraida juga telah gagal untuk mengenal pasti arah tuju politik yang sebenar selepas tidak lagi menang dalam PRU15 lalu.

"Jadi, bagi saya tak perlulah Zuraida pada masa ini, sama ada untuk menyertai mana-mana parti politik untuk meningkatkan semula kredibiliti beliau atau pun keyakinan mahu pun kepercayaan rakyat kepada beliau kerana ia disebabkan faktor kepercayaan, keyakinan yang sudah hilang dalam kalangan rakyat kepada beliau," katanya kepada Malaysiakini.

Mohamad Tawfik berkata demikian mengulas masa depan politik Zuraida selepas dipecat PBM.

PBM semalam memutuskan untuk memecat serta-merta Zuraida yang dikatakan bakal presiden parti, di tengah-tengah pertikaian kepimpinan dengan presiden pengasas PBM Larry Sng.

Larry Sng

Pemecatan itu dibuat atas alasan Zuraida dan sekutunya tidak menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada mereka pada 19 Dis.

Sementara itu, Tawfik juga tidak melihat masa depan Zuraida bersama parti lain kerana bekas naib presiden PKR itu telah dilihat sebagai “beban”, bagi mana-mana pihak pun.

"Bagi saya, Zuraida tidak perlulah aktif dalam mana-mana parti politik sekalipun kerana beliau akan membebankan parti politik yang disertainya, apatah lagi nak menubuhkan parti politik baru yang  bagi saya sudah tidak lagi mampu nak diterajui oleh Zuraida itu sendiri," katanya.

Kata Mohamad Tawfik, langkah Zuraida untuk menubuhkan parti baru juga bukan satu pilihan, lebih-lebih lagi dalam dunia politik semenanjung.

Katanya, perdana menteri dua kali Mahathir Mohamad sendiri pun gagal melalui Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang kalah teruk dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

“Akhirnya beliau tergelincir dan tewas serta dilihat tidak lagi mampu bertentangan dengan arus politik negara," tambahnya.

‘Mahu bentuk parti kecil, boleh’

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Sivamurugan Pandian pula berpendapat Zuraida masih mempunyai peluang untuk aktif dalam politik, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Menurut Sivamurugan, Zuraida masih mempunyai peluang kembali kepada PBM dengan merujuk isu kesahan pemecatannya kepada  Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Sebabnya, sebelum pilihan raya kedua-duanya mengakui mereka ialah peneraju kepada parti tersebut,” katanya.

Sivamurugan Pandian

Selain itu, katanya, dia juga masih boleh bergerak melalui platform NGO Muafakat Nasional (MN) pimpinan bekas pemimpin Umno Annuar Musa, seperti kecenderungan awal yang ditunjukkannya.

"Yang ketiga, jika beliau tidak mahu dilihat di dalam MN yang dianggap sebagai badan bukan kerajaan maka perlulah membina parti politik baru untuk membolehkan beliau kekal aktif dalam politik," katanya.

Bagaimanapun, Sivamurugan berpandangan ketiga-tiga pilihan itu juga agak sukar baginya.

Zuraida dan Annuar Musa

Begitu juga dengan pembentukan parti baru, walaupun diakui dia masih mempunyai sokongan penyokong tegarnya walaupun angkanya tidak besar.

"Betul beliau hilang deposit dan tewas pilihan raya yang lepas tetapi beliau juga ada penyokong yang setia kepada beliau jadi dengan membuka parti sendiri barangkali ada pengikutnya.

"Tetapi untuk menjadi parti arus perdana mungkin sukar buat masa ini. Mungkin boleh menjadi parti-parti kecil yang berselerak sekarang ini," katanya.

Tambah Sivamurugan, Zuraida juga dinasihatkan untuk tidak menyertai mana-mana pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan kelak buat masa ini.

Apa pun pilihan yang dipilihnya, kata Sivamurugan, pilihan raya negeri yang akan datang bukanlah medan untuk Zuraida.

"Buat masa ini beliau harus lebih memikirkan mengukuhkan kedudukan beliau daripada bertanding dan juga berhadapan dengan dilema yang sama.

"Sebab pilihan raya baru selesai dan dia juga dilabel dengan pelbagai nama. 

“Mungkin beliau perlu membersihkan dulu imejnya supaya lebih jelas kedudukan beliau dan tidak berhadapan dengan situasi yang sama sebagainya yang dihadapi beberapa pemimpin lain," katanya.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke 15, November lalu, Zuraida sebagai penyandang kerusi Ampang gagal mempertahankan kerusinya dengan bertanding atas tiket PBM.

Malah, Zuraida hilang deposit apabila hanya meraih 4,589 undi, merosot hampir 90 peratus.

Pada PRU14 lalu, Zuraida yang merupakan naib presiden PKR ketika itu memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 41,956 undi dalam saingan empat penjuru – BN, PAS, Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Zuraida dilantik ke dalam kabinet Mahathir selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) menumbangkan BN pada 9 Mei 2018.

Bagaimanapun, dia dipecat daripada PKR bersama bekas timbalan presiden, Azmin Ali selepas menyertai Muhyiddin Yassin menerusi Langkah Sheraton dan menyertai Bersatu. 

Zuraida kemudian keluar Bersatu dan menyertai PBM pada Mei lalu.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo