NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tun M sifatkan kerjasama PH, BN pelik, jejas kepercayaan rakyat



PUTRAJAYA:
Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada janji dan pendirian parti politik, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri menyifatkan kerjasama antara dua gabungan utama yang saling bermusuhan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), meremehkan janji yang dibuat kepada rakyat oleh parti politik, khususnya sepanjang kempen pilihan raya.

Katanya, kerjasama PH dan BN juga tidak menghormati undi rakyat yang memilih kedua-dua parti itu dalam PRU15 selepas percaya dengan janji dan pendirian mereka yang sebelumnya bertegas menolak satu sama lain.

"Saya dapati sekarang ini dalam pilihan raya, janji dibuat. Selepas menang pilihan raya, janji diketepikan dan tindakan yang bertentangan dengan janji dilaksanakan.

"Bermakna kerajaan ini tidak hormati janji yang mereka buat dengan rakyat. Rakyat tentu kecewa kerana mereka menyokong atas sikap dan dasar parti atau calon, tetapi apabila menang mereka ketepikan dasar dan janji mereka.

"Ini memberi gambaran seolah-olah pilihan raya tidak berkesan dalam menentukan pihak yang akan jadi kerajaan berdasarkan janji yang baik. Mereka mungkin lakukan benda yang di luar atau bertentangan janji mereka," katanya dalam temu bual eksklusif bersama BH di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibentuk hasil kerjasama luar biasa membabitkan PH dan BN, selain Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa parti lain.

Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas tiada mana-mana parti berjaya mendapat majoriti mudah 112 daripada 222 kerusi Parlimen dalam PRU15, menyebabkan Parlimen tergantung selama lima hari sebelum Istana Negara mengumumkan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Dalam PRU15, PH mendapat jumlah kerusi Parlimen terbanyak dengan 82 kerusi, disusuli Perikatan Nasional (PN) yang menang 74 kerusi, BN (30), GPS (23), GRS (6), serta tujuh lagi diperoleh beberapa parti lain dan dua calon Bebas.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang tewas dalam PRU15 di Parlimen Langkawi, turut menyifatkan kerjasama PH dan UMNO sebagai perkara pelik dan mengetepikan pendirian masing-masing.

"Itu peliklah kerana kita tahu, UMNO dalam mesyuarat agungnya memutuskan tidak sama sekali bersama dengan Anwar atau DAP. Pakatan yang diadakan ini menidakkan dakwaan pendirian mereka. Pendirian mereka ialah tidak akan terima kerjasama dengan Anwar dan DAP.

"Sekarang ini bukan saja mereka kerjasama, bahkan menyokong musuh mereka sebagai Perdana Menteri dan (UMNO) bekerjasama dengan DAP," katanya.


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo