NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tragedi Batang Kali : 19 mangsa disah maut

HULU SELANGOR: Sebanyak 19 mangsa disahkan meninggal dunia susulan runtuhan tanah di tiga tapak perkemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland dekat sini.

Perkembangan itu menyaksikan 14 mangsa lagi masih hilang dan sedang dikesan.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis, mangsa ke-17 dan 18 ditemukan berpelukan pada pukul 4.40 petang tadi.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dipercayai seorang ibu bersama anak dalam keadaan berpelukan di kawasan tertimbus dengan tanah.

“Terkini pada setengah jam lalu, (anggota penyelamat) menemukan seorang lagi (mangsa), tetapi dalam proses bawa keluar.

“Peringkat awal 16 orang (yang maut) ditemukan di Hill Side, baki dua (berpelukan) di River Side dan (mayat) ke-19 jumpa di River Side juga.

“Kebanyakan mangsa ditemukan tertimbus lebih kurang tiga atau empat kaki (kedalaman),” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, 16 mayat mangsa yang ditemukan sehingga pukul 1 petang tadi pada mulanya dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Bagaimanapun, semua mayat mangsa dipindahkan ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

“Mana-mana pihak yang mahu membuat pengecaman diminta datang ke Hospital  Sungai Buloh atau datang ke lokasi untuk berhubung dengan komander operasi,” katanya.

Ditanya sama ada operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan sehingga waktu malam, beliau berkata, pihaknya sedang berbincang dengan pihak bomba berhubung perkara itu.

“Pada waktu malam, pastinya ada halangan dari segi cuaca, teknikal dan faktor keadaan gelap sekali gus menyebabkan ancaman yang tidak nampak.

“Jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, kami mungkin akan menangguhkan operasi ini pada waktu malam,” katanya. – UTUSAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo