NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MoU ditandatangani ketua parti, ikat kebebasan dan hak ahli Parlimen

MoU yang dimeterai itu mengatakan setiap parti bertanggungjawab memastikan ahli Parlimennya menyokong usul yang dibawa oleh kerajaan.

Perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh gabungan yang membentuk kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat menghapuskan hak individu ahli Parlimen untuk bebas dalam melakukan pengundian di Dewan Rakyat, di mana parti politik diberitahu sesiapa yang tidak menyokong usul kerajaan akan dianggap gugur sebagai ahli Parlimen.

Menurut memorandum yang ditandatangani Pakatan Harapan, Barisan Nasional, GPS, GRS dan Warisan, semua pihak mesti menyokong perdana menteri dalam sebarang usul undi percaya atau rang undang-undang perbekalan serta mana-mana prosedur Parlimen lain yang boleh menjejaskan kerajaan.

Ia juga berkata setiap parti bertanggungjawab untuk menguruskan secara dalaman bagi memastikan sokongan ahli Parlimen, sambil menambah bahawa ahli Parlimen yang mengundi di luar keputusan parti akan dianggap hilang kelayakan, dan kerusi mereka akan dikosongkan.

"Parti ahli Parlimen tersebut hendaklah mengeluarkan notis kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut menurut Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi notis kepada Suruhanjaya Pilihanraya untuk mengadakan pilihanraya kecil,” kata memorandum itu.

MoU yang dimeterai hari ini dibuat kira-kira tiga minggu selepas Anwar dinamakan sebagai perdana menteri setelah beberapa hari negara berdepan kemelut politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15, yang menyaksikan tiada satu pun gabungan utama memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Selepas waktu akhir untuk pemimpin gabungan politik mengemukakan bukti sokongan terhadap mereka, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dilaporkan tidak mengendahkan penyerahan 115 akuan berkanun (SD) daripada ahli Parlimen yang menyokong Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Muhyiddin kemudiannya berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan Agong supaya gabungannya bekerjasama dengan Anwar untuk membentuk "kerajaan perpaduan".

Pihak istana kemudiannya menamakan Anwar sebagai perdana menteri di mana Gabungan Parti Sarawak berkata mereka akan mematuhi titah Agong.

MoU yang dimeterai hari ini adalah perjanjian kedua selepas persefahaman serupa ditandatangani pada 2021 antara bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan PH.

MoU itu kemudiannya memastikan sokongan kepada kerajaan Ismail sebagai timbal balik kepada beberapa tuntutan PH, termasuk pengenalan akta anti lompat parti.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo