NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada takrifan jelas ‘dikira letak jawatan dalam parti politik’ satu kelompangan besar

Shad Saleem Al Faruqi berkata, Speaker yang sepatutnya menentukan sama ada kerusi Parlimen kosong, sekali gus PRK perlu diadakan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Undang-Undang Anti-Lompat mempunyai kelompangan ketara memandangkan peruntukan itu tidak mentakrifkan maksud “dikira meletak jawatan dalam parti politik”, kata pakar Perlembagaan.

Shad Saleem Al Faruqi berkata, pindaan Perkara 49 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan undang-undang itu dikuatkuasakan diwujudkan dengan hasrat mendisiplinkan parti dan mengekang kebebasan Ahli Parlimen untuk melompat.

“Bagaimanapun, kelemahan paling besar ia tidak mentakrifkan apa yang dikatakan ‘dikira meletak jawatan dalam parti politik’. Justeru, peraturan dalaman parti akan digunapakai bagi menentukan apa yang menjurus kepada peletakan jawatan sebagai ahli,” katanya.

Beliau mengulas demikian sebagai maklum balas laporan FMT yang mana peguam, Andrew Khoo, berkata klausa peletakan jawatan automatik terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) membabitkan Ahli Parlimen dalam parti membentuk kerajaan perpaduan mungkin tidak berperlembagaan.

Khoo yang juga pengerusi bersama jawatankuasa Perlembagaan Majlis Peguam, berkata klausa itu secara efektif menghalang Ahli Parlimen mereka bebas mengundi, selain beliau sangsi sama ada klausa automatik meletak jawatan itu boleh dipertahankan di mahkamah atau dikuatkuasakan.

Katanya, klausa itu menekan hak Ahli Parlimen mengundi berdasarkan nurani mereka.

Mengulas mengenai MoU itu, Shad Saleem berkata, tidak wajar bagi kerajaan perpaduan untuk mengisytiharkan kerusi Parlimen kosong dan PRK akan dilaksanakan sekiranya Ahli Parlimen enggan mematuhi hala tuju parti.

Katanya, parti politik tidak mempunyai kuasa melakukan pengisytiharan seumpama itu mengambil kira Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa terbabit kepada Speaker Dewan Rakyat.

Beliau berkata, parti atau gabungan boleh merangka peraturan dalaman membabitkan ahli dikira meletak jawatan dari parti.

Katanya, peraturan itu terbuka untuk diteliti badan kehakiman, namun berkemungkinan dipertahankan berdasarkan peruntukan jelas dalam Perkara 49A(1)(a)(ii) yang menyatakan bahawa pengosongan kerusi sememangnya termaktub sekiranya Ahli Parlimen tidak lagi menjadi ahli parti politik.

Pada September, komponen Pakatan Harapan melibatkan Amanah dan DAP meminda perlembagaan parti masing-masing yang menyatakan wakil rakyat yang tidak mematuhi arahan parti dalam isu dasar secara automatik hilang keahlian.

Ketika itu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, berkata pindaan itu dilakukan demi menyelamatkan parti daripada “lompang” Undang-Undang Anti-Lompat yang mana wakil rakyat dipecat parti tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

Shad Saleem berkata, menjadi tanggungjawab parti memaklumkan perkara berkaitan pemberhentian keahlian kepada Speaker.

“Kemudian Speaker akan menentukan sama ada ia memenuhi Perkara 49A(1) bagi membolehkan PRK diadakan. Kesimpulannya, MoU dideraf secara tidak jelas, namun boleh diperbetulkan untuk dikira sebagai berpelembagaan mengikut Perkara 49A(1)(a) (ii),” katanya.

Bekas presiden Majlis Peguam, Salim Bashir, berkata MoU ditandatangani parti membentuk kerajaan perpaduan tidak diikat dengan undang-undang memandangkan ia hanya berbentuk “persefahaman menunjukkan komitmen parti” kepada kerajaan perpaduan.

“Ia tidak memerlukan terma yang boleh dikuatkuasakan melalui undang-undang,” katanya.

Pada Jumaat, parti membentuk kerajaan perpaduan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim menandatangani MoU, menjelang undi percaya, hari ini.

Selain Anwar yang juga pengerusi PH, pemimpin lain yang berbuat demikian membabitkan Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah Hajiji Noor dan Presiden Warisan Shafie Apdal.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo