NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tersisih daripada Kabinet, MUDA akan terus fokus kepada suara rakyat

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan terus fokus membawa suara rakyat dan memperjuangkan dasar terbaik untuk negara di Parlimen, walaupun tiada wakil parti itu melalui Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan malam tadi.

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, melahirkan keyakinan itu selepas ditanya berhubung Syed Saddiq yang kini berdepan kes mahkamah membabitkan pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram 'tercicir' dari senarai Jemaah Menteri diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Ketika ditanya berhubung pembentukan Kabinet yang turut menyaksikan pemimpin mempunyai kes mahkamah iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu bagaimanapun berkata, sudah tentu pembentukan Kabinet kerajaan ketika ini menuntut semua pihak untuk mencari jalan yang terbaik demi negara.

"Saya yakin dan percaya untuk Syed Saddiq, ada jawatan menteri atau tidak, beliau akan kekal fokus membawa suara rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan memperjuangkan polisi terbaik untuk negara, lebih-lebih lagi dalam Parlimen.

"MUDA akan sentiasa menjalankan tanggungjawab untuk sama-sama membina negara dalam kapasiti apa sekalipun," katanya kepada BH, di sini.

Pembentukan Kabinet melalui Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri semalam menyaksikan 28 Jemaah Menteri dengan Pakatan Harapan (PH) mewakili 15 menteri melalui PKR, DAP, AMANAH dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Barisan Nasional (BN), sebanyak enam wakil; Gabungan Parti Sarawak (GPS) (lima) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (satu) dan seorang mewakili teknokrat.

Pada masa sama, Amira Aisya berkata, pihaknya melihat 28 Jemaah Menteri menggalas satu tugas yang bukan mudah berikutan mereka perlu bekerja keras membawa suara rakyat, membina polisi baik untuk negara dan memperkukuhkan institusi negara.

"Buat masa sekarang, saya ucapkan selamat maju jaya pada semua yang akan mengangkat sumpah selaku menteri dalam Kabinet Datuk Seri Anwar," katanya.

Sebelum ini, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar diarah oleh Mahkamah Tinggi supaya membela diri atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan RM1.12 juta dana parti BERSATU.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Syed Saddiq, di akhir kes pendakwaan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo