KUALA LUMPUR: Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Hans Isaac meminta semua pihak mengetepikan emosi berhubung isu Kabinet Kerajaan Perpaduan, sebaliknya bergerak ke hadapan meneruskan agenda pembangunan negara.
"Secara keseluruhan, ini adalah Kabinet yang baik. Kalau kita lihat, ada ramai menteri muda yang membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan ini.
"Saya tahu ramai yang tidak puas hati tetapi kita kena sedar ini adalah Kerajaan Perpaduan.
"Kalau sesebuah parti politik hendak bolot semua, itu bukan kerajaan gabungan namanya.
"Kita tidak boleh hendak atur semua perkara mengikut cara kita. Demi masa depan negara, kita kena bergerak ke hadapan dan ketepikan semua perkara yang membabitkan emosi.
"Bukan mudah untuk membuat keputusan ini. Kalau tidak, takkanlah pengumuman Kabinet baharu ini tertangguh beberapa kali.
"Saya tabik hormat kepada Perdana Menteri dengan keputusan yang saya anggap terbaik ini," katanya kepada BH Online.
Hans yang juga pengarah dan pelakon terkenal juga yakin pelantikan Ketua Penerangan PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, 41, sebagai Menteri Komunikasi Digital mampu memberi nafas baharu kepada industri seni.
Hans atau nama sebenar, Gerald Hans Isaac, 51, berkata, keyakinan itu timbul berdasarkan pengalaman Ahmad Fahmi yang pernah menceburi bidang seni sebelum aktif berpolitik.
"Pelantikan Ahmad Fahmi memberi satu nafas baharu kepada industri seni kerana beliau pernah menceburi bidang seni.
"Berdasarkan pengalaman yang ada, saya percaya beliau lebih faham mengenai industri seni dan apa kesukaran yang dihadapi penggiat seni berbanding ahli politik lain.
"Walaupun pengetahuannya mengenai industri seni tidak secara mendalam, tetapi beliau cepat belajar.
"Saya mengucapkan tahniah kepada Ahmad Fahmi dan sebagai penggiat seni, saya akan menyokong beliau," katanya.
Ditanya permasalahan industri seni yang perlu diberi perhatian Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, Hans menganggap bukan haknya untuk memberi cadangan.
"Masih terlalu awal untuk membicarakan soal ini. Ahmad Fahmi pun belum angkat sumpah lagi. Rasanya tidak perlulah saya suarakan cadangan dalam bentuk kenyataan.
"Jika saya dipanggil untuk memberi pendapat, saya sedia bekerjasama. Saya sertai politik pun sebab mahu membantu industri seni.
"Saya akan bersikap jujur dengan Ahmad Fahmi mengenai permasalahan industri seni supaya beliau tahu apa yang berlaku dan berusaha mencari jalan penyelesaian," katanya.
No comments
Post a Comment