NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Russia lancar serangan dron, lebih sejuta penduduk Odesa terputus bekalan elektrik

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, mendakwa bekalan kuasa bagi semua semua infrastruktur tidak kritikal di pelabuhan Odesa, Ukraine terputus akibat serangan Russia ke atas dua kemudahan tenaga, menggunakan dron buatan Iran.

Katanya, kerja baik pulih kerosakan itu mungkin mengambil masa beberapa bulan, selain menanggarkan lebih 1.5 juta penduduk di wilayah sekitarnya mengalami gangguan bekalan elektrik, dan menyifatkan keadaan itu amat sukar terutama ketika musim sejuk.

Moscow menyasarkan infrastruktur tenaga Ukraine dengan peluru berpandu dan serangan dron, sejak Oktober lalu.

Pentadbiran wilayah berkata, penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada elektrik wajar mempertimbangkan untuk berpindah, selain memaklumkan serangan Russia memusnahkan laluan penghantaran dan peralatan utama pada awal pagi semalam.

“Ramalan awal mendapati, ia akan mengambil lebih banyak masa untuk memulihkan kemudahan tenaga di wilayah Odesa berbanding selepas serangan sebelumnya.

“Ia bukan beberapa hari atau minggu, sebaliknya mungkin dua hingga tiga bulan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Odesa, bandar pelabuhan terbesar di Ukraine, mempunyai lebih sejuta penduduk sebelum serangan Russia pada 24 Februari lalu.

Kyiv mendakwa Russia melancarkan ratusan dron Shahed-136 buatan Iran ke Ukraine dan menyifatkannya sebagai jenayah perang kerana kesan terhadap orang awam, manakala Moscow mendakwa ia sah dari segi ketenteraan.

Zelensky menerusi rakaman video berkata, berlaku kekurangan ketara terhadap jumlah janaan kuasa.

Pejabat pendakwa raya Ukraine turut mengesahkan dua kemudahan kuasa di wilayah Odesa diserang dron Shahed-136.

Angkatan bersenjata Ukraine memaklumkan, sebanyak 10 daripada 15 dron yang dilancarkan ke wilayah selatan Odesa dan Mykolaiv, ditembak jatuh. – REUTERS

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo