NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiga sekeluarga maut nahas di Manjung dikenal pasti

LUMUT: Tiga sekeluarga yang maut dalam kemalangan berhampiran Jambatan Bainun dekat sini malam tadi dikenal pasti sebagai Mohamad Adam Che Embi, 33; isterinya, Nurhamizza Hamdan, 32; dan anak bongsu mereka, Mohamad Aisy Hakim Mohamad Adam, 2.

Mohamad Adam adalah Juruteknik di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah TNB Janamanjung Sdn. Bhd. manakala isterinya adalah suri rumah dan mereka menetap di Residensi Pr1ma@Segari, tidak jauh dari lokasi kejadian.

Dua lagi anak pasangan itu yang turut berada dalam kereta dinaiki mereka berusia enam dan empat tahun mengalami kecederaan di bahagian dada dan dahi kini dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM) di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan berlaku di Jalan Kampung Koh-Pantai Remis kira-kira pukul 11.07 malam.

“Siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dinaiki lima sekeluarga tersebut dari arah Manjung menghala ke Segari sebelum bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Chevrolet Captiva dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, Proton Saga terbabas ke kiri jalan manakala Chevrolet Captiva pula terbabas ke kanan jalan dan terbakar akibat kebocoran minyak petrol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian manakala pemandu Chevrolet Captiva perempuan berusia 21 tahun patah kaki dan turut dirawat di HSM.

Beliau menjelaskan kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat dan melihat kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Fahrulrazhi Zakaria di talian 012-4433441.

Mohd. Yusri turut menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika berada di jalan raya terutama ketika musim cuti persekolahan ini. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo