NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15: Proses undi awal DUN Tioman, Parlimen Padang Serai ditutup

SPR menetapkan hari pengundian pada 7 Dis dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon hingga 11.59 malam 6 Dis. - Gambar hiasan


ROMPIN: Dua pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman telah ditutup, kata Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang Datuk Zamree Hamli.
Beliau berkata pusat pengundian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin ditutup pada jam 5 petang, manakala di Balai Polis Tekek, Pulau Tioman ditutup lebih awal iaitu 12 tengah hari.
"Peratusan keseluruhan keluar mengundi bagi undi awal PRU15 DUN Tioman ialah 95.88 peratus," katanya semasa dihubungi di sini hari ini, serta menambah proses pengundian awal yang bermula pukul 8 pagi tadi berjalan lancar.
Sementara itu, pusat pengundian awal bagi Parlimen Padang Serai, Kedah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang juga dibuka pada 8 pagi, ditutup pada 2 petang.
Sejumlah 319 anggota polis merupakan pengundi awal berdaftar di ketiga-tiga pusat mengundi awal berkenaan, dengan 76 orang daripadanya adalah bagi Parlimen Padang Serai dan 243 orang lagi bagi DUN Tioman.
PRU15 di kedua-dua kawasan tersebut sebelum ini ditangguhkan berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya dari Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman.
Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 Nov lepas dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan, manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian PRU15 pada 19 Nov.
PRU15 Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru dengan saingan melibatkan calon PH, Barisan Nasional (BN), PN dan Pejuang, manakala DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN, PN, PH, Pejuang dan seorang calon Bebas.
Bagaimanapun, malam tadi Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan parti itu bersetuju memberi laluan kepada PH di kerusi Padang Serai, manakala di DUN Tioman PH sebelum ini telah mengumumkan memberi laluan kepada calon BN.
Terdahulu, Warisan turut mengumumkan tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan, namun logo parti itu masih tersenarai dalam kertas undi kerana sudah didaftarkan sebagai antara parti yang bertanding.
SPR menetapkan hari pengundian pada 7 Dis dengan tempoh berkempen selama 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon hingga 11.59 malam 6 Dis.
-- BERNAMA



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo