NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Permulaan baik untuk PN menapak, Pas semakin mengukuh di Terengganu


KEMENANGAN besar Perikatan Nasional (PN) yang berjaya menawan kesemua lapan kerusi Parlimen di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam bukan suatu perkara mengejutkan.

Sebaliknya, pencapaian dan keputusan untuk menang 8-0 itu sudah diduga sewaktu  ‘wisel penamat’ hampir dibunyikan, iaitu sehari sebelum hari pembuangan undi berlangsung.

Ramai yang bercakap mengenai perkara itu, pada awalnya ada mengatakan kedudukan 4-4, ada juga kata 5-3, namun disaat-saat terakhir ramalannya bertukar menjadi 8-0.

Sebab itulah, pada malam terakhir kempen pilihan raya diadakan, Pengerusi PN Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar begitu optimis gabungan parti berkenaan akan menang 8-0, bukan empat, bukan tiga.

Malah ketika bercakap pada sidang media sempena program Jelajah PN Best Grand Finale PRU15 di Padang Astaka Cukai Kemaman, Naib Presiden Pas itu begitu yakin gabungan parti itu akan menang besar kerana pada pilihan raya kali ini berlaku peningkatan sokongan berbanding PRU14.

Selain itu kata beliau, apa yang berlaku di peringkat akar umbi mendapati ‘mood’ yang sangat luar biasa ditunjukkan para pengundi di semua kawasan Parlimen.

Bagi pengalisis dan pemerhati politik di Terengganu pula ramai berpendapat antara faktor kejayaaan PN adalah disebabkan Pas khususnya berjaya menerapkan elemen memilih parti bukan calon dalam kalangan ahli dan penyokong mereka, selain kehadiran pengundi berusia 18 tahun.

Berdasarkan itulah, kenapa bekas ahli Pas yang juga merupakan penyandang Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali tewas kepada calon Pas Datuk Dr Alias Razak.

Dr Alias yang mendapat 56,697 undi menang dengan majoriti 29,765 undi manakala Khairuddin (BN) mendapat 26,932 undi, Azaha Wahid (Pejuang) 291 undi dan Datuk Suhaimi Hashim (PH) 3,708 undi.

Selain itu penulis mendapati semangat ahli, penyokong dan jentera Pas termasuk di peringkat akar umbi sentiasa berkobar dengan bekerja keras bermula hari Parlimen dibubarkan sehingga malam pengumuman keputusan PRU15 diadakan.

Melihat perkembangan ini, penulis percaya ia permulaan terbaik untuk PN menapak di Terengganu disamping Pas pula akan terus mengukuh penguasaan politiknya di negeri ini.

Hadi Awang dan isteri mengundi semalam

Sementara itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula berkata, penerimaan dan sambutan rakyat terhadap PN di negara ini semakin memberangsangkan dan menunjukkan suatu perkembangan positif.

Katanya, perkembangan ini antara lain disebabkan dengan kehadiran ramai anak-anak muda yang keluar mengundi.

Dalam PRU15 kali ini Abdul Hadi kekal mencipta kemenangan bergaya di Parlimen Marang dengan majoriti besar, 41,729 undi.

Beliau yang mendapat 73,115 undi berjaya menewaskan Jasmira Othman (BN) yang mendapat 31,386 undi, Azhar Abdul Shukur (PH) 4,140 undi dan Zarawi Sulong (Pejuang) 427 undi.

PN juga berjaya menawan kubu kuat BN di Besut apabila calonnya Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menang dengan majoriti 18,666 undi.

Beliau yang mendapat 49,569 undi berjaya menewaskan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad yang mendapat 30,903 undi, Abd. Rahman @ Abd. Aziz Abas (PH) 4,339 undi dan Wan Nazari Wan Jusoh (Pejuang) 553 undi.

PN berjaya mempertahankan Parlimen Setiu apabila calonnya Shaharizukirnain Abdul Kadir menang dengan majoriti 19,032 undi.

Beliau yang mendapat 50,768 undi menewaskan Datuk Abdul Rahman Mat Yasin (BN) 31,736 undi, Mohamad Ngah (PH) 2,125 undi dan Wan Adnan Wan Ali (Pejuang) 203 undi.

Bagi Parlimen Kuala Terengganu pula, PN kekal menang apabila calonnya Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim mendapat 63,016 undi dengan majoriti : 40,907 undi menewaskan Mohamad Abu Bakar Muda (Pejuang) 481undi, Datuk Zubir Embong (BN) 22,109 undi dan Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (PH) 10,946 undi.

Di Parlimen Hulu Terenganu, calon PN Datuk Rosol Wahid (Pas) menang besar dengan majoriti 15,734 undi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapat 42,910 undi menewaskan Datuk Rozi Mamat (BN) 27,176 undi, Mohd. Khadri Abdullah (Pejuang) 182 undi dan Alias Ismail (PH) 1,740 undi.

Parlimen Dungun menyaksikan calon PN,  Wan Hassan Mohd. Ramli menang dengan majoriti 34,105 undi.

Beliau yang mendapat 59,720 undi menewaskan Ghazali Ismail (Bebas) 305 undi, Nurhisam Johari (BN) 25,615 undi, Noraisah Hasan (Pejuang) 322 undi dan Datuk Dr. Mohd. Johari Mohamad (PH) 5,307 undi.

PN juga berjaya mempertahankan Parlimen Kemaman apabila calonnya Che Alias Abd. Hamid menang dengan majoriti 27,179 undi.

Beliau yang mendapat 65,714 undi berjaya menewaskan calon BN yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, Rosli Ab. Ghani (Pejuang) 506 undi dan Hasuni Sudin (PH) 8,340 undi.

MOHD LAZIM ENDUT


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo