NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pasangan kekasih ditahan, dipercayai terlibat buang bayi

JOHOR BAHRU: Dua suspek masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita berusia 27 dan 28 tahun ditahan polis semalam kerana dipercayai terlibat dengan satu perbuatan membuang bayi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenden Dr. Mohd. Roslan Mohd. Tahir berkata, kedua-dua suspek tersebut ditahan Kampung Melayu Pandan, di sini pada pukul 1 petang.

Menurut beliau, siasatan dibuat mendapati kedua-dua suspek merupakan pasangan kekasih dan dipercayai ada kaitan dengan bayi berkenaan.

“Polis mengesan beberapa gambar dan satu rakaman video tular yang menunjukkan penemuan seorang bayi perempuan masih bertali pusat di dalam sebuah parit di Kampung Melayu Pandan. Perkara tersebut turut dilaporkan pengadu iaitu seorang wanita berusia 33 tahun yang menemukan mayat bayi tersebut pada pukul 11.50 pagi, semalam.

“Mayat bayi berkenaan telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Roslan, bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita dalam operasi yang dijalankan bermula pukul 1 petang hingga 1.30 petang, hari sama.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek yang merupakan operator kilang itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan tidak mempunyai hubungan suami isteri. Dalam operasi tersebut, polis turut merampas beberapa barangan antaranya t-shirt dan kain sarung yang terdapat kesan darah, dua telefon bimbit dan juga beberapa ubat seperti Ciproglen, Fenagessic, Anarex dan Spasmin,” jelasnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Kedua-dua suspek kini dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini,” jelasnya. – UTUSAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo