NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

P. Ramlee kuat makan?

P.RAMLEE KUAT MAKAN?

Tahun: 1964
Di Rumah KASMA BOOTY

P.Ramlee baru sahaja berhijrah dari Singapura ke Kuala Lumpur untuk meneroka kehidupan baru di Studio Merdeka. Antara rakan lama yang beliau mula berkunjung adalah Seniwati Kasma Booty yang tinggal di Kg Klang Gates, tidak berapa jauh dari Studio Merdeka. 

Sebagai pasangan hero heroin sejak dari tahun 1951, Ramlee dan Kasma telah berpisah selama 13 tahun lamanya. Ketika nama Kasma Booty sedang harum semerbak dalam filem CHEMPAKA dan PISAU BERACHUN pada tahun 1948, P. Ramlee masih merangkak mencari sinar dalam industri perfileman. Beliau sangat terhutang budi dengan Kasma Booty dan suaminya kerana sanggup memberi ruang di satu sudut rumah barrack nya untuk P Ramlee tinggal dengan hanya sehelai sepinggang. Namun bakat semulajadi P Ramlee melonjak namanya dengan deras sekali menuju puncak dunia filem. 

Ramlee dan Kasma menjadi hero heroin sukaramai dalam filem SEJOLI dan JUWITA, kedua filem itu edaran tahun 1951. Tetapi malangnya, disebabkan krisis Kasma Booty dengan seorang pegawai Shaw Brothers, Kasma membatalkan kontraknya dengan serta merta. Maka terpisahlah pasangan Ramlee dan Kasma ketika populariti mereka sedang memuncak. 

Ketika berkunjung ke rumah Kasma dan suaminya Booty Jacobs, P Ramlee sedang menyiapkan filem SITORA HARIMAU JADIAN. Namun, beliau terus mengambil peluang untuk menawarkan Kasma Booty berlakon dalam filem DAMAQ sebagai filem ' come back ' Kasma Booty sejak beliau bersara dari berlakon selepas 7 buah filem bersama Studio Merdeka. Pada mulanya Kasma keberatan untuk menerima tawaran itu tetapi setelah dipujuk bertalu-talu oleh P Ramlee, maka terciptalah watak Kenanga dalam filem DAMAQ, yang mana filem itu merupakan filem terakhir lakonan Kasma Booty. 

Ketika berada di rumah Kasma, P Ramlee dihidangkan dengan masakan Minang. Sajian pada hari itu adalah pucuk ubi masak lemak cili padi, masakan sayur, telor goreng cili berlado dan ikan masin campur bawang goreng. Disebabkan masakan itu adalah kegemaran P Ramlee, beliau kerap singgah di rumah Kasma ketika sedang membuat penggambaran DAMAQ. Dalam erti kata, P Ramlee memang seorang ' kaki makan ' jika kena pada sajian nya. 

Gambar menunjukkan P Ramlee tidak sabar-sabar hendak menjamah masakan Kasma Booty sambil diperhatikan oleh Booty Jacobs, suami Kasma. 

Semoga rohnya mereka dicucuri rahmat Allah swt.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo