NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Najib serah sendiri cek bernilai RM1 juta pada Shahrir

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu hasil siasatan mendapati RM1juta yang diterima bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab. Samad diserahkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Nurzahidah Yacob, 35, yang merupakan Penolong Penguasa di Cawangan Sasaran Operasi (OTC) Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Putrajaya berkata cek itu diterima Shahrir daripada Najib di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 27 November 2013.

“Hasil siasatan mendapati, pada 28 November 2013, terdapat kemasukan wang sebanyak RM1juta ke dalam akaun Public Bank Berhad milik Tan Sri Sharir melalui cek. Cek tersebut merupakan cek AmIslamic milik Datuk Seri Najib yang mana Datuk Seri Najib sendiri yang menulis dan menandatangani cek tersebut sebelum diserahkan sendiri kepada Tan Sri Shahrir,” kata Nurzahidah.

Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya ketika pemeriksaan utama perbicaraan kes Shahrir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut Nurzahidah daripada keseluruhan transaksi pengeluaran itu, sebanyak RM543,800 digunakan bagi melaksanakan Projek Pemulihan Perumahan Puri Langkasuka (Seri Anugerah) Larkin, Johor Bahru.

Selain itu sebanyak RM10,000 digunakan untuk perbelanjaan yang melibatkan tugas beliau (Shahrir) sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru (ketika itu) kepada UMNO Cawangan Taman Kebun Teh.

“Manakala baki sebanyak RM443,485 dipercayai digunakan untuk tujuan peribadi beliau (Shahrir) antaranya kepada Sutera Auto Sdn. Bhd. RM118,485,” katanya.

Dalam prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan ketujuh iaitu Eksekutif Akaun Sutera Auto Sdn.Bhd. Rozana Khalid memberitahu mahkamah bahawa Shahrir telah membuat pembayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta jenis Honda Civic Hibrid bernilai RM118,485 menggunakan sekeping cek.

Membaca lanjut pernyataan, saksi itu turut berkata hasil siasatan juga mendapati Shahrir tidak pernah membuat pengisytiharan berkenaan penerimaan dana tersebut, walaupun ia dikira sebagai pendapatan beliau (Shahrir).

Katanya, ia disahkan melalui maklumat percukaian milik Shahrir bagi tahun 2013 hingga 2018 yang mana tiada sebarang pengisytiharan pendapatan melebihi RM1 juta dalam Borang BE iaitu bekas Pengerusi Felda itu mengisytiharkan pendapatan pada 2013 (RM87,834), 2014 (RM128,104), 2015 (RM213,394), 2016 (RM189,545), 2017 (RM267,090) dan 2018 (RM193,191).

Nurzahidah berkata berdasarkan fakta dan keterangan yang diperolehi serta dokumen-dokumen yang dirampas dalam tempoh siasatan, beliau telah mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) SPRM dengan cadangan menuduh Shahrir kerana tidak mengisytiharkan dana yang diterima sebanyak RM1 juta.

“Shahrir kemudian telah ditangkap pada 20 Januari 2020,” kata saksi itu lagi.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi manakala Shahrir diwakili peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung lagi esok.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo