NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menteri Agama jamin terus usaha perkasa Akta 355

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan akan terus memperkukuhkan lagi Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 selagi ia memberi manfaat kepada umat Islam.

Perkara tersebut ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Nai’im Mokhtar ketika mengulas masa depan kepada pindaan akta itu.

“Saya hendak tekankan di sini bahawa apa sahaja dasar sebelum ini yang banyak beri manfaat kepada agama Islam serta rakyat akan terus kita pertahan dan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan sesi ramah mesra bersempena dengan Jualan Rakyat Penjawat Awam di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang menawarkan potongan harga 50 peratus itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Akta tersebut yang turut dikenali sebagai Akta 355 sepatutnya dibentangkan untuk pindaan pada persidangan hujung Oktober lalu namun terbantut susulan pembubaran Parlimen.

Draf pindaan kepada akta berkenaan yang dirujuk sebagai Rang Undang-Undang (RUU) 355 bagaimanapun sudah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara pada 7 Oktober lepas.

Penggubalan semula Akta 355 hasil Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil Ke-27 pada 2021 bakal menyeragamkan kuasa mahkamah syariah di Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im yang sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memberi jaminan bahawa Kabinet akan memperhalusi RUU 355.

Pada dasarnya ujar beliau, pembentangan RUU 355 adalah amat positif kerana ia adalah sebahagian daripada usaha memartabatkan kuasa mahkamah syariah seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo