NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengapa perlu Anwar pegang Menteri Kewangan?

MENGAPA PERLU ANWAR PEGANG MENTERI KEWANGAN?

1. Pertama sekali, saya mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang akhirnya telah berjaya menamakan anggota-anggota menterinya tanpa menamakan lagi timbalan-timbalan menteri masing-masing. Boleh jadi timbalan-timbalan menteri akan dinamakan kemudian setelah kocakan antara parti-parti membentuk kerajaan campuran selesai. Sebagaimana yang dimaklumi, timbalan-timbalan menteri bukanlah anggota kabinet kerajaan.

2. Pelantikan anggota kabinet kerajaan seharusnya disusuli dengan tindakan cepat untuk persediaan negara dan rakyat menghadapi bencana banjir yang mula melanda negara sekarang ini. Selain daripada itu, anggota-anggota kabinet seharus bersegera untuk memastikan Bajet 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat seawal mungkin supaya ekonomi negara dapat dipacu dengan pantas. Penangguhan pembentangan Bajet 2023 bukan sahaja boleh mengganggu perjalanan kerajaan, bahkan menghakis keyakinan pelabur.

3. Berkaitan dengan pengumuman anggota-anggota kabinet oleh Anwar sebentar tadi, ada satu perkara besar yang tidak selari dengan agenda reformasi yang sering dilaungkan oleh beliau. Perkara tersebut ialah pemusatan kuasa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada individu yang sama. Amalan pemusatan kuasa seperti ini dimulakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tahun 2001, yang kemudian diikuti oleh Dato Sri Mohamad Najib Tun Razak ketika beliau menjadi Perdana Menteri ke-6. Apabila Dr Mahathir kembali berkuasa tahun 2018, beliau meninggalkan amalan ini.

4. Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah antara jawatan terpenting dalam kabinet seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedua-dua potfolio ini mempunyai bidang kuasa yang begitu besar, tidak ada pada potfolio menteri-menteri yang lain. Sekiranya seorang individu yang sama memegang kedua-dua potfolio itu, maka beliau mempunyai kuasa yang cukup besar terutama berkaitan dengan pengurusan kewangan dan kelulusan projek-projek mega.

5. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan sebelum ini di zaman Perdana Menteri ke-7, ke-8 dan ke-9 untuk tidak memusatkan kuasa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada seorang individu, adalah satu langkah yang sangat baik ke arah mewujudkan kerajaan yang lebih berintegriti. Malah di zaman Perdana Menteri ke-7, ke-8 dan ke-9, Perdana Menteri tidak memegang apa-apa potfolio kementerian yang lain, sebaliknya menumpukan tugasnya sebagai ketua kerajaan. Bagaimanapun, dengan pengumuman sebentar tadi, Anwar telah kembali kepada amalan lama.

6. Sehubungan dengan itu, sebagai membuktikan komitmen Anwar untuk melakukan reformasi dalam kerajaan yang baru ditubuhkan, adalah lebih wajar beliau melepaskan jawatan Menteri Kewangan, dan melantik individu dari kalangan ahli parlimen yang lain untuk jawatan tersebut. Kegagalan Anwar berbuat demikian, akan menimbulkan lagi keraguan rakyat terhadap laungan beliau untuk melakukan reformasi dalam kerajaan, setelah beliau melantik individu yang masih berhadapan dengan kes tuduhan korupsi sebagai timbalan beliau.




Komen : Mana Rafizi? Tgh cari formula baru utk gerakkan Kementerian Ekonomi?

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo