NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mekanik ditangkap, jadikan rumah tempat membaiki senjata api

PADAWAN – Seorang mekanik senjata api ditangkap kerana memiliki amunisi, senjata api dan menjadikan rumahnya sebagai tempat membaiki senjata api tanpa lesen yang sah.

Lelaki berusia lewat 50-an itu ditahan di rumahnya di sebuah kampung yang terletak di Batu 19, Jalan Kuching-Serian kira-kira pukul 11.30 petang semalam, dalam satu operasi khas iaitu Op Laras.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, operasi dilakukan oleh pasukan polis daripada Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan.

“Turut berjaya dirampas adalah pelbagai komponen senapang patah, peralatan yang digunakan untuk membuat dan membaiki senjata api, dua unit senapang angin dan juga amunisi.

“Tangkapan berjaya dilakukan hasil daripada intipan serta risikan maklumat sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, Abang Zainal berkata suspek mendapat upah mengikut tahap kerosakan senjata yang dihantar kepadanya.

Katanya siasatan juga mendapati suspek mula melakukan kegiatan itu sejak tiga tahun lepas sebagai pendapatan sampingan.

Justeru, beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan juga di bawah Seksyen 9 (2) akta yang sama atas kesalahan tidak memiliki sebarang lesen senjata api dan amunisi serta menggunakan kediaman sebagai bengkel membaiki senjata tanpa lesen yang sah.

Sehubungan itu, Abang Zainal mengingatkan dan memberi amaran kepada masyarakat agar tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang. – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo