NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mampukah Zahid kekal sebagai presiden Umno?


Masa depan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno kini menjadi tumpuan ramai terutama apabila beliau membawa parti Melayu terbesar itu untuk bekerjasama dengan dengan Pakatan Harapan (PH), bagi membolehkan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Meskipun kerjasama antara Barisan Nasional (BN) yang diterajui Zahid dan PH sebelum ini "disyaki" akan berlaku pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), masih ramai menganggap perkembangan ini sebagai satu kejutan terutamanya apabila Perhimpunan Agung Umno memutuskan "No Anwar, No DAP" sebagai pendirian parti itu.

Walaupun tidak mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melantik Anwar sebagai perdana menteri, perhatian kini tertumpu kepada Zahid kerana dianggap sebagai "perancang utama" kerjasama Umno bersama PH di mana DAP parti yang paling banyak kerusi.

Terdahulu, usaha menjalinkan kerjasama antara BN dan PH bukan saja mendapat tentangan  beberapa pimpinan Umno seperti Hishammuddin Hussein dan Annuar Musa, malah ia juga dibantah parti komponen lain seperti MCA dan MIC.

Mereka beranggapan BN sewajarnya berperanan sebagai pembangkang memandangkan tidak mendapat mandat rakyat untuk menjadi kerajaan pada PRU15.

Beberapa penganalisis politik berpandangan kedudukan Zahid sebagai presiden Umno tidak begitu tergugat walaupun beberapa pemimpin parti itu pernah mengeluarkan kenyataan terbuka membantah keputusan beliau.

Bagaimanapun, mereka berkata, kedudukan Zahid hanya akan tergugat sekiranya kes mahkamah yang sedang dihadapi tidak memihak kepadanya.

Zahid pada September lalu diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir, berkata ahli Parlimen Bagan Datuk itu masih mempunyai sokongan kuat dalam kalangan akar umbi Umno terutama apabila 130 ketua bahagian baru-baru ini tampil menyuarakan sokongan terhadapnya.

Malah, titah Agong untuk membentuk kerajaan Perpaduan juga dilihat sebagai alasan kukuh untuk merealisasikan kerjasama antara BN-PH.

"Lagipun ahli-ahli Parlimen BN sudah menyokong, justeru ini sudah menjadi perkara yang lepas dan mungkin tidak akan berlarutan," katanya kepada MalaysiaNow.

"Kecuali jika kes mahkamah beliau didapati bersalah, itu akan jadi penentuan."

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi BN yang mengalami kekalahan teruk PRU15, Jeniri berpandangan Zahid sewajarnya mengikut teladan Najib Razak yang mengundur diri daripada jawatan presiden secara sukarela selepas gabungan parti politik yang dipimpinnya tewas pada pilihan raya sebelum ini.

"Kini Umno ada tiga puak. Pertama yang sokong (Zahid), kedua ingin BN menjadi pembangkang manakala ketiga ingin sertai PN," ujarnya.

Penganalisis politik dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun, berkata  pendirian Umno menyokong PH mungkin akan berubah apabila berlaku pertukaran presiden parti pada pemilihan Umno yang dijangka akan berlangsung enam bulan daripada sekarang.

Katanya, situasi ini sekiranya berlaku boleh menyebabkan tumbangnya kerajaan yang kini dipimpin oleh presiden PKR itu.

"Zahid dijangka mampu pertahankan kedudukannya memandangkan mereka yang menentang beliau masih belum memperoleh sokongan kukuh, sebaliknya kekal mengasingkan diri.

"Sekiranya pemimpin seperti Annuar Musa menggantikan kedudukan Zahid, mungkin akan ada peralihan sokongan daripada Anwar," jelasnya.

Sementara itu, James Chin dari University of Tasmania, Australia berkata sekiranya Zahid digantikan dengan pemimpin baru misalnya Mohamad Hasan yang kini timbalan presiden Umno, ini tidak bermakna BN akan tarik sokongan serta-merta terhadap PH.

Katanya, kemungkinan besar semua parti politik termasuk BN akan mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" sebelum membuat keputusan memandangkan kerajaan sedia ada ini dibentuk menerusi titah Agong.

"Jangan lupa kerajaan ini dibentuk dalam situasi yang luar biasa.

"Ia dibentuk selepas dibincang antara Raja-Raja Melayu, justeru ahli politik mungkin tidak akan berani untuk tarik sokongan pada ikut suka hati," kata Chin.

...
https://www.malaysianow.com



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo