NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lebih baik BN sertai PH sebagai parti komponen

Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

WALAUPUN penyokong akar umbi masih tidak dapat menerima hakikat kerjasama BN dan PH yang melanggar prinsip perjuangan kedua-dua gabungan parti politik, pemimpin atasan mereka dilihat semakin hari makin selesa dan bertambah akrab.

Semenjak bergabung untuk membentuk kerajaan perpaduan dan memegang jawatan dalam kerajaan, pemimpin BN dan PH yang dahulunya saling serang-menyerang dan berseteru boleh melupakan persengketaan berpuluh tahun dalam sekelip mata.

Segala tuduhan antara satu sama lain sebelum ini yang dijaja sejak sekian lama hilang dengan pantas dan tidak lagi meniti di bibir pemimpin kedua-dua gabungan parti, malah saling memuji dan ada juga yang berbalas pantun untuk menunjukkan berakhirnya permusuhan dan mekarnya kemesraan pemimpin mereka.

Melalui hubungan bersejarah yang tidak pernah tercapai di akal penyokong akar umbi, ramai yang melihat kepada keperluan BN yang ditunjangi UMNO untuk mengisytiharkan parti itu menyertai PH secara rasmi kerana ia memudahkan penyokong parti berkenaan untuk membuat keputusan sama ada untuk terus kekal atau menyertai parti lain.

Dengan kemerosotan kerusi-kerusi Parlimen milik UMNO-BN, adalah sukar untuk komponen itu mengekalkan kuasa pada PRU16 kerana jika dilihat bermula pada PRU11 hingga PRU16, trend sokongan terhadap parti berkenaan menceritakan segala-galanya di mana kedudukan parti tertua itu ketika ini.

Pada PRU11 parti keramat orang Melayu memenangi lebih 200 kerusi- satu kedudukan yang amat stabil dan pada tahun 2008 iaitu semasa PRU12, ia merosot kepada 140 kerusi Parlimen iaitu kehilangan 60 kerusi – suatu kehilangan yang agak besar.

Disebabkan banyak isu besar yang membelenggu kerajaan pada waktu itu hingga tidak mampu dikawal, prestasi UMNO-BN makin merosot pada PRU13 apabila hilang lapan kerusi menjadikan kerusi dimenangi menjadi 132 kerusi.

Pada PRU14, penolakan terhadap parti itu berterusan dan UMNO hilang lagi 53 kerusi menjadikan ketika itu tinggal 79 kerusi. Daripada 79 itu, UMNO makin hilang arah apabila 39 Ahli Parlimennya menyertai parti Bersatu kerana hilang kepercayaan kepada kepemimpinan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Dan pada PRU15, UMNO-BN kini hanya tinggal 30 kerusi iaitu kemerosotan yang amat teruk apabila dilihat penurunan jumlah kerusi dari tahun 2004 dengan lebih 200 kerusi kepada angka ketika ini pada tahun 2022.

Pada pilihan raya umum baru-baru ini jelas kelihatan penolakan terhadap UMNO-BN apabila golongan muda yang pertama kali mengundi turut menunjukkan pendirian mereka terhadap parti gabungan itu.

Dengan data-data yang jelas serta kehilangan sokongan ketara ketika ini, BN-UMNO sebenarnya tiada pilihan lain melainkan menyertai PH untuk mengelakkan jumlah kerusi mereka terus merosot hingga mencatat angka bawah 10 kerusi Parlimen.

Sebenarnya secara logik akal, jika prestasi merosot seperti yang ditunjukkan oleh UMNO ini, nakhoda parti perlu mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan, tetapi ia tidak berlaku dan nampaknya mustahil untuk berlaku.

Maka, dengan penyertaan kepada PH adalah jalan yang paling terbaik untuk memudahkan pengundi membuat keputusan terutamanya pada pilihan raya enam negeri yang akan berlangsung beberapa bulan lagi dan juga PRU16 kerana hanya ada dua gabungan yang bertanding iaitu PN dan PH.

Pengundi juga tidak perlu lagi pening kepala ataupun diganggu dengan cubaan memecah undi kerana pilihan hanya ada dua. Lakukanlah segera kerana ia boleh menjadikan hubungan ‘perkahwinan’ BN-PH lebih rasmi tanpa perlu menipu penyokong lagi.

Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo