NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan lantik hakim sedang berkhidmat sebagai Peguam Negara



KUALA LUMPUR: Kerajaan dinasihatkan supaya tidak melantik hakim yang sedang berkhidmat sebagai Peguam Negara (AG) bagi mengekalkan kebebasan badan kehakiman.

Jurucakap badan bukan kerajaan, Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (MADPET), Charles Hector Fernandez, berkata pelantikan itu akan menimbulkan persoalan berhubung kebebasan kehakiman dan hakim yang dilantik.

"Adakah orang ramai akan yakin dengan kebebasan hakim berkenaan dalam kes di mana salah seorang pihak adalah perdana menteri atau kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Memetik laporan FMT, Hector berkata beliau turut membantah pelantikan hakim bersara sebagai Peguam Negara.

Katanya, perlu ada tempoh bertenang sekurang-kurangnya tiga tahun.

"Ini bagi mengelakkan persepsi bahawa seseorang itu mendapat ganjaran dengan lantikan berkenaan," katanya.

Hector mencadangkan pegawai kanan awam seperti Pendakwa Raya atau Peguam Persekutuan dari Pejabat Peguam Negara atau mana-mana peguam sebagai AG.

Adalah menjadi amalan kerajaan sebelum ini melantik hakim bertugas sebagai AG, antaranya Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Tan Sri Idrus Harun.

Sebelum ini, tiga hakim yang sedang berkhidmat dikhabarkan akan dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai peguam negara yang baharu.

Portal FMT yang memetik sumber berkata, mereka ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, selain dua Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seseorang yang layak bagi menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan untuk menjadi Peguam Negara.

Mengikut Perkara 123 Perlembagaan, individu itu mesti seorang warga negara dan mempunyai pengalaman 10 tahun berkhidmat sebagai peguam bela mana-mana Mahkamah Tinggi atau mempunyai perkhidmatan kehakiman dan perundangan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri layak dilantik sebagai Peguam Negara.


Sumber I BH Online





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo