NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu data penumpang bocor: Pejabat AirAsia diserbu pegawai Kementerian


PUTRAJAYA: Dua pasukan penyiasatan Kementerian Komunikasi dan Digital telah pun melakukan ‘serbuan’ ke atas pejabat AirAsia Aviation Group Limited dekat sini semalam berhubung isu data lima juta penumpang yang didakwa bocor.

Perkara berkenaan disahkan Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat beliau di kementeriannya di sini hari ini.

“Pukul 2.15 petang semalam, 5 pegawai Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan 2 pegawai Cyber Security Malaysia (CSM) bagi mengambil beberapa dokumen,” jelasnya.

Sabtu lalu, beliau menerusi kenyataan memaklumkan sistem pelayan AirAsia diceroboh selepas digodam kumpulan dikenali sebagai Daixin melibatkan data lima juta penumpang.

Serangan siber berbentuk perisian tebusan itu turut membabitkan butiran peribadi pekerja syarikat penerbangan kos rendah popular tersebut yang berlaku pada 12 November lalu.

Sehubungan itu, pasukan penyiasat JPDP dan CSM telah memulakan proses siasatan awal dengan bertemu sendiri pengurusan firma induknya, Capital A pada 1 Disember lepas.

Beliau turut menggesa semua pengguna sentiasa memantau dan menambah baik aspek keselamatan siber dengan mengemas kini sistem perlindungan ke atas pangkalan data.

Mengulas lebih lanjut, Ahmad Fahmi berkata, dua pasukan berkenaan turut mengambil pelbagai peralatan data yang berkaitan rekod penumpang dan staf operator udara tersebut.

“Saya difahamkan bahawa proses siasatan itu sebenarnya masih lagi berjalan dari semasa ke semasa dan insya-Allah akan dimaklumkan jika ada perkembangan kelak,” tegasnya.

Justeru, beliau meminta masyarakat tidak berasa bimbang dan memberi jaminan pihak kementeriannya sentiasa memantau isu kecurian data pengguna sebagai kes amat serius.

Sebelum ini, sistem pelayan syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines Berhad turut pernah diceroboh padan tahun lalu namun keadaan tidak serius dan berjaya dikawal.

Daixin terkenal di seluruh dunia sering menggodam pangkalan data pelbagai organisasi bagi memberi amaran kepada pelanggan firma itu mengenai kelemahan sistem kawalan.

Ini meliputi butiran nama, tarikh dan tempat lahir, alamat kediaman dan sebagainya selain menuntut sejumlah tebusan yang perlu dibayar untuk mengelak berlaku serangan lagi.-UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo