NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saya bukan dalang singkir Ridhuan Tee dalam forum perdana - Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menafikan dakwaan bahawa dirinya sebagai dalang yang mengarahkan anggota panel Forum Perdana Ehwal Islam ditukar.

Malah, beliau turut mengesahkan bahawa program bual bicara keagamaan popular pada setiap Khamis itu bukanlah di bawah pengawalan tanggung jawab oleh kementeriannya.

“Ia bukan pun program (kementerian) saya, maka, bagaimana pula orang boleh buat cerita kata saya yang suruh tukar ahli panel tertentu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, pendakwah terkenal, Dr. Ridhuan Tee Abdullah mendakwa kononnya beliau tidak dibenarkan menjadi antara panel forum tersebut atas arahan daripada seorang menteri.

Hantaran tangkap layar perbualan ringkas melalui aplikasi Whatsapp mengenai larangan jemputan ke atas agamawan Cina mualaf  itu tular diperkatakan ramai warganet tempatan.

Bagaimanapun, dakwaan beliau kononnya rancangan bicarawara Islam itu dibatalkan tidak pula berlaku, sebaliknya bersiaran seperti biasa selepas slot Berita Perdana di TV1.

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi dalam nada berjenaka memaklumkan bahawa beliau tiada punca kuasa untuk menyekat mana-mana individu dalam program bukan kementeriannya.

“Orang di luar sana yang mungkin tidak faham akan bercakap macam-macam, tetapi, ramai tidak tahu, saya pun tiada punca kuasa untuk program sedemikian disiarkan,” jelasnya.

Terdahulu, beliau hadir untuk berucap buat julung kalinya pada Majlis Amanat Menteri di kementeriannya sejak dilantik dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pada 3 Disember lalu.

Forum Perdana Ehwal Islam diterbitkan oleh Bahagian Penyiaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak awal dekad 1980-an lagi dengan durasi siaran selama satu jam.

Pada malam tadi, program itu menyaksikan tempat Ridhuan digantikan oleh pendakwah terkenal, Harryanto Rizal Rokman dan bergandingan dengan Datuk Mohd. Kazim Elias.

Ia disiarkan secara langsung dari auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Kelana Jaya, Selangor dengan ditaja Bank Islam Malaysia Berhad.

Penggantian Ridhuan juga disahkan oleh pendakwah mualaf terkenal, Firdaus Wong Wai Hung menerusi laman sosialnya tetapi menegaskan program itu ke udara seperti biasa.-UTUSAN


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo