NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gelombang PN di Selangor agak sukar walaupun tak mustahil, kata penganalisis


Gelombang tsunami Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menepis segala ramalan dan kajian pihak penyelidik dan badan pemikir, baik di dalam atau luar negara.

PN yang berjaya mendapat 73 kerusi muncul gabungan kedua terbesar selepas Pakatan Harapan (PH) dengan 82 kerusi. 

Barisan Nasional (BN), yang mana sesetengah pihak menjangkakan mampu membentuk kerajaan hanya berjaya mendapat 30 kerusi Parlimen.

Undi Melayu yang berpihak kepada PN merupakan kesinambungan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, iaitu Melaka dan Johor yang mana gabungan berkenaan berjaya melakukan “inroads” ke dalam kawasan-kawasan masyarakat Melayu.

PRN Melaka dan Johor menyaksikan, PN mendapat tempat kedua dikebanyakan kerusi majoriti Melayu walaupun tidak memenangi banyak kerusi.

Di kawasan-kawasan Melayu, PH menang kerana berlaku pertandingan lebih dua penjuru yang mana undi Melayu berpecah antara ketiga-tiga gabungan utama tersebut. 

Di Tambun contohnya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjaya memperoleh 49,625 undi dengan majoriti 3,736. 

Penyandang kerusi, Ahmad Faizal Azumu memperoleh 45,889 manakala calon BN Aminuddin Md Hanafiah memperoleh 28,140 undi. 

Ia sekaligus menimbulkan persoalan mengenai keutuhan PH beberapa negeri termasuk Selangor yang akan melangsungkan PRN pada tahun depan, apabila BN kini menyertai kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Anwar.

Penganalisis politik Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs berkata, situasi satu lawan satu antara gabungan PH-BN dengan PN hanya boleh diandaikan sekiranya kerjasama di peringkat persekutuan diteruskan pada PRN Selangor akan datang.

"Kita masih belum pasti jika ada peruntukan kerusi antara PH dan BN, memandangkan BN tidak cenderung untuk membiarkan sahaja PH bertanding.

"Jadi akan ada pusingan rundingan dalaman, apatah lagi mereka berdepan dengan PAS dan Bersatu," katanya kepada MalaysiaNow.

Sebagai rekod Selangor antara negeri yang tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selari dengan PRU15. 

Pada PRU14, PH berjaya mengekalkan dominasi di negeri terkaya Malaysia itu dengan memenangi 51 daripada 56 kerusi. 

Baki kerusi dimenangi oleh BN (4) dan PAS (1).

PH berjaya menawan negeri Selangor bermula 2008 semasa gabungan itu dikenali sebagai Pakatan Rakyat. 

Kartini Aboo Talib, penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagaimanapun tidak optimistik dengan tsunami PN di Selangor.

Katanya, orang Melayu tidak menyokong rasuah yang membarah dalam Umno, namun pada masa yang sama tidak menyokong pendekatan liberal yang dibawa PH. 

"Bagi siri-siri PRN, undi org Melayu-Islam akan memihak kepada PN, terutama negeri yang mempunyai kawasan Felda dan luar bandar di mana terletak sekolah-sekolah pondok dan agama. 

"Selangor banyak kawasan bandar dan demografi bukan Melayu yang signifikan, jadi agak sukar melihat 'tsunami hijau' di Selangor," katanya. 

Beliau juga tidak yakin dengan kesepakatan kerusi antara BN dan PH, apatah lagi kerusi DUN berbeza dengan kerusi Parlimen.

"Harus diingat BN tidak selamanya bersama PH. Kerajaan ada kini adalah cadangan Yang di-Pertuan Agong iaitu kerajaan perpaduan. 

“Bila-bila sahaja  BN akan mengorak langkah dan bertanding," tambahnya.

Menurut Kartini, PH dijangka mengalami pengurangan undi pada PRN yang dijadual pada tahun depan.

Dalam pada itu, Oh berkata situasi BN menentang PH pada PRN akan datang akan jadi janggal tatkala Anwar perlu mengekalkan sinergi kerajaan pentadbirannya. 

"Ia akan jadi janggal walaupun bukanlah pertama kali, seperti pada 1980 dan 1990-an ketika Parti Dayak Sarawak yang merupakan pembangkang negeri bekerjasama dengan parti Sarawak lain di peringkat pusat," katanya.

Katanya, contoh paling hampir ialah BN dan PN yang bertanding menentang satu sama lain di PRN Johor dan Melaka. 


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo