NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP hanya pura-pura lawan rasuah, penyamun, kata Hadi Awang


DAP akhirnya membuka topeng sendiri sekali gus mendedahkan wajah sebenar terhadap Islam apabila tokoh pujaan mereka Lim Kit Siang membuat kenyataan menyatakan kemarahan parti itu, susulan kejayaan besar PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata susulan itu muncul gerakan menghalang pembentukan kerajaan Perikatan Nasional yang turut disertai PAS, termasuk menggunakan ‘tangan-tangan ghaib’.

Sehubungan itu beliau mengalu-alukan kenyataan pemimpin DAP yang mendedahkan wajahnya yang sebenar terhadap Islam, apabila mereka membuat kenyataan kemarahan terhadap kejayaan PAS yang diberikan nama ‘gelombang hijau’ dalam PRU-15 baru-baru ini.

“Sehinggakan, berlakunya gerakan bagi menghalang penubuhan kerajaan oleh Perikatan Nasional (PN) yang disertai oleh PAS dengan cara yang terang lagi bersuluh, walaupun melalui tangan-tangan ghaib yang tersembunyi.

“Mereka mengoyakkan topeng yang melindungi wajahnya yang sebenar, supaya lebih meyakinkan kita kepada perjuangan Islam dan mengenali siapakah kawan dan lawan.

“Ditelanjangkan dirinya sendiri, betapa slogan menentang rasuah, perompak, lanun dan segala salah laku hanya penuh kepura-puraan sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini (13 Disember 2022) sebagai mengulas kenyataan Kit Siang baru-baru ini.

Kit Siang pada 9 Disember lalu berkata kerajaan harus melaksanakan dasar-dasar reformasi dan program pembinaan semula negara bagi memastikan Malaysia tidak menjadi negara Islam sepenuhnya dalam dua kali lagi pilihan raya, yang dianggarkannya pada 2032, iaitu 10 tahun dari sekarang.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional berkata DAP tanpa rasa malu mengajak pihak yang dikutuk sebelum ini bergabung dan membentuk kerajaan.

Beliau membidas pihak yang turut bersama DAP sambil menyatakan situasi yang berlaku sekarang membenarkan hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Bukhari dan Muslim iaitu bahawa akan muncul dalam kalangan umat Islam pada akhir zaman yang:

“Sesungguhnya, di belakang golongan ini akan muncul keturunan atau kumpulan daripada kalangan (yang mengaku Islam) yang membaca al-Quran sekadar di kerongkongannya sahaja. Dalam keadaan mereka meninggalkan Islam, laksana anak panah keluar menuju sasarannya. Mereka akan menentang orang Islam dan membiarkan kaum penyembah berhala (Musyrikin) yang menjadi musuh Islam. Sekiranya aku berkesempatan (dipanjangkan umur) menemui mereka, nescaya aku menentangnya laksana menentang kaum ‘Ad (yang dilaknat Allah).”

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan kumpulan terbabit membentuk gabungan yang bersedia mencari kemenangan dengan wajah yang berubah-ubah, melalui sokongan pihak Islam yang bebal dan pihak yang nyata bermusuh terhadap Islam.

“Dalam PRU-15 yang lalu, jumlah kerusi yang dimenangi di kawasan majoriti bukan Islam atau Islam menjadi undi penentu yang menyokong calon-calon mereka, di sebalik perpecahan dan kejahilan umat Islam terhadap politik.

“Perjuangan mereka melalui ideologi pragmatik yang disembunyikan dan berpura-pura dengan wajah yang dapat menarik kalangan yang beragama sehingga boleh ditipu atau disebabkan oleh jahil agama atau tidak beragama,” katanya memetik ayat 46 dan 47 surah Ibrahim.

“Selain itu, Allah SWT juga mendedahkan kumpulan yang bersekongkol dengan musuh Islam demi mencapai tujuannya sekadar kemenangan dunia sahaja sebagaimana dijelaskan dalam ayat 138 dan 139 surah Al-Nisa.”

Abdul Hadi berkata slogan reformasi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional dilakukan secara tidak demokratik oleh kumpulan yang dinamakan Bersih dengan tujuan yang kotor.

“PAS mengundurkan diri daripada kumpulan itu, setelah mengkaji sedalam-dalamnya kerana tiada faedah bertempur dengan anggota polis melalui perancangan yang jahat bermotifkan politik kotor yang diatur oleh pihak asing yang datang menjajah lagi secara baharu,” katanya.



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo