NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bersih, pengguna Twitter sangat kecewa dengan tindakan Anwar lantik Zahid

Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, Anwar Ibrahim kembali kepada ‘amalan buruk’ memegang dua jawatan penting.

PETALING JAYA: Kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih “kecewa” dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang turut memegang portfolio kewangan, selain mengkritik pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri.

Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, Anwar kembali kepada “amalan buruk” yang dimulakan Dr Mahathir Mohamad, diteruskan oleh Abdullah Ahmad Badawi dan “disalahgunakan” Najib Razak dengan memegang dua jawatan penting itu.

“Ia sama dengan dua penandatangan cek diperlukan adalah orang sama. Tidak mungkin tiada orang berkebolehan untuk menjadi menteri kewangan,” katanya.

Fann berkata, pelantikan Pengerusi Barisan Nasional itu sebagai timbalan perdana menteri semakin menghakis kewibaan Anwar sebagai reformis dan menjejaskan komitmennya untuk memerangi rasuah serta menegakkan tadbir urus baik.

Zahid yang juga presiden Umno berdepan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang.

Seorang pengguna Twitter berkata: “Saya ingat sesiapa yang mempunyai kes mahkamah tidak akan dilantik sebagai menteri. Bukankah itu yang diperjuangkan PH? Secara jujurnya, saya tidak tahu tetapi saya boleh agak ini akan berlaku apabila BN menyokong PH.”

Pandangan Fann mengenai Anwar yang menjadi menteri kewangan turut dikongsi pengguna Twitter lain.

“PM=Kewangan terlalu banyak kuasa. Tidak sepatutnya berlaku lagi,” kata Frank Rohaizad yang turut membuat tanda pagar “kabinet teruk”.

Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum 2018 berjanji perdana menteri tidak akan memegang jawatan lain secara serentak, selepas Najib Razak memegang dua jawatan penting itu. Tiada perdana menteri memegang jawatan menteri kewangan selepas Najib.

Seorang pengguna Twitter, Fazriq Aris berkata, keputusan Anwar bukan “tadbir urus baik”.

“Itu yang berlaku dalam 1MDB. Harapnya ada semak dan imbang baik daripada pihak pembangkang.”

1MDB adalah badan pelaburan kerajaan yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan ketika Najib menjadi perdana menteri dan menteri kewangan. Najib kemudiannya dihukum penjara 12 tahun atas tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa berhubung dana dikaitkan dengan anak syarikat 1MDB.

Sementara itu, Niza Bakeri mempersoalkan keputusan Anwar melantik Nga Kor Ming daripada DAP sebagai menteri pembangunan kerajaan tempatan dan mengetepikan Gobind Singh Deo serta Yeo Bee Yin yang pernah menjadi menteri sebelum ini.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo