NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Badan pemikir cadang tubuh panel bebas untuk lindung penderma politik


Tricia Yeoh dari IDEAS dan Thomas Fann dari Bersih meminta ketelusan dan penguatkuasaan peraturan yang tidak berat sebelah mengenai sumbangan politik.
PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir dan kumpulan pemantau pilihan raya menggesa suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk melindungi penderma politik daripada dimangsai, sebaik undang-undang baharu mengenai pembiayaan politik diwujudkan.

Ketua Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi dan kumpulan reformasi Bersih berkata penderma tidak seharusnya dihukum atau dimangsai kerana menderma kepada parti politik pilihan mereka.

Ketua Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, berkata ketelusan adalah salah satu teras utama bagi rang undang-undang pembiayaan politik yang didraf awal tahun ini.

Draf rang undang-undang itu menggesa Suruhanjaya Pembiayaan Politik bebas diwujudkan.

“Adalah penting bagi suruhanjaya atau badan kawal selia untuk bersikap bebas dan tidak berat sebelah dalam penguatkuasaannya,” katanya.

Beliau mencadangkan bahawa suruhanjaya berkenaan diberi akses terhadap semua data mengenai semua sumbangan kepada parti politik, walau bagaimanapun, hanya derma yang melebihi jumlah yang besar harus dibentangkan di Parlimen dan boleh diakses oleh orang ramai.

Katanya, kebebasan suruhanjaya itu adalah penting untuk memastikan data penderma tidak bocor.

Ketua Bersih, Thomas Fann, berkata identiti penderma, termasuk penderma korporat, hanya perlu diketahui oleh suruhanjaya bebas dan penerima.

“Perlindungan lanjut hanya wujud apabila agensi tertentu seperti SPRM, AGC, PDRM dan LHDN dibebaskan daripada pengaruh eksekutif supaya mereka tidak boleh digunakan untuk menghukum mereka yang menderma kepada pembangkang,” katanya.

“Agensi-agensi ini juga mesti bertanggungjawab kepada pelbagai badan supaya mereka boleh disoal sekiranya terdapat aduan terhadap mereka.”

Minggu lalu, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata rang undang-undang sumbangan politik mesti melindungi penderma daripada dimangsai mana-mana kerajaan semasa.

Katanya, prasyarat ketelusan dalam sumbangan politik menjadi jaminan bahawa penderma tidak akan menjadi mangsa kerana menyokong mana-mana parti politik.

Pada September, menteri undang-undang ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Rang Undang-Undang (RUU) sumbangan politik akan dibentangkan di Parlimen pada November.

Bagaimanapun, pada Oktober, beliau berkata, undang-undang itu belum lengkap dan masih dikaji oleh kerajaan.

Seterusnya, Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15.

Pada 2015, perdana menteri ketika itu Najib Razak telah mengumumkan jawatankuasa perundingan mengenai kewangan politik untuk membangunkan rancangan bagi memastikan ketelusan dan tadbir urus ke atas dana parti.

Menurutnya, beliau telah mengemukakan cadangan itu terlebih dahulu untuk mengawal selia derma politik sejak 2009 tetapi tidak mendapat maklum balas.

Selepas itu, ahli politik dan NGO telah menggesa agar satu undang-undang berkaitan sumbangan politik diwujudkan susulan laporan bahawa Najib menerima sumbangan politik USD681 juta (RM2.99 bilion) dalam akaun peribadinya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo