NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Azeez dilepas, bebas tuduhan rasuah, ubah wang haram


KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Pesuruhjaya Kehakiman Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan Azeez untuk mengubah perintah Mahkamah Sesyen, daripada pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) kepada pembebasan penuh, selepas Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim tidak mengemukakan sebarang bantahan.

“Tertuduh kini dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Pada September, Mahkamah Sesyen membenarkan Azeez dilepas tanpa dibebaskan dalam kes yang mana beliau didakwa pada 2019 atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Perintah itu dikeluarkan selepas pendakwa raya memberitahu mahkamah mereka perlu menyemak semula siasatan selepas menerima “petunjuk baharu”.

Azeez turut dikenakan 10 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM13.9 juta daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada Ogos membatalkan empat daripada 10 tuduhan pengubahan wang haram tersebut, membabitkan sejumlah RM12.9 juta.

Peguam yang mewakili Azeez hari ini, Amer Hamzah Arshad, memberitahu mahkamah bahawa siasatan terhadap bekas pengerusi Tabung Haji itu telah lengkap dan aset yang dirampas daripadanya semasa siasatan berjalan telah dipulangkan.

Susulan itu, katanya, anak guamnya patut dilepas dan dibebaskan.

Dengan perintah yang dikeluarkan mahkamah hari ini, pihak pendakwaan tidak boleh mengembalikan tuduhan atau mengemukakan tuduhan baharu terhadap Azeez berdasarkan fakta sama.



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo