Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek diumumkan sebagai menteri pendidikan pada sidang media khas oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Aktivis pendidikan meragui kemampuan Fadhlina Sidek untuk menerajui Kementerian Pendidikan kerana beliau tidak mempunyai latar belakang dalam bidang terbabit.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin, berkata ia sukar dan dikhuatiri Ahli Parlimen Nibong Tebal itu akan mengambil masa yang lama untuk memahami permasalahan sistem pendidikan yang dihadapi.
“Isunya di sini bukan orang baharu atau tidak, tetapi latar belakangnya kerana semakan mendapati beliau seorang peguam dan tiada pengalaman mengendalikan isu-isu pendidikan.
“Ini mungkin memakan masa jika beliau ingin bermula dari ‘kosong’,” katanya yang menyifatkan pelantikan ketua wanita PKR itu adalah di ‘luar jangkaan’.
Sebelum ini, kumpulan itu antara yang lantang mendesak kerajaan supaya melantik menteri pendidikan yang berani memperkenalkan dasar progresif bagi memperbaiki sistem pendidikan, sekalipun cadangannya “tidak popular”.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim pula berkata beliau berharap Fadhlina boleh memainkan peranan untuk memperbaiki sistem pendidikan negara.
“Jadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan utama ibu bapa, bukan mendekati mereka dengan memperkenalkan sistem pendidikan satu aliran,” katanya.
Tambahnya, beliau juga berharap agar lebih banyak sekolah yang melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) selain diberi sokongan dan bantuan kewangan yang mencukupi.
“Pada masa yang sama, Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) harus diberi keutamaan dalam pelaburan,” tambahnya.
Pada sidang media khas di Putrajaya semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Ketua Wanita PKR Fadhlina sebagai menteri pendidikan.
Fadhlina pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Dewan Negara, selaku pengamal undang-undang.
No comments
Post a Comment