NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ADUN Stulang dilantik Ketua Pembangkang DUN Johor

Salahuddin menggesa kerajaan negeri memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada Ketua Pembangkang DUN Johor memandangkan peranannya cukup penting dalam pentadbiran negeri.

ISKANDAR PUTERI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang baharu.

Beliau menggantikan Liew Chin Tong.

Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pelantikan tersebut sudah dimaklumkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi hari yang sama.

Salahuddin yang juga ADUN Simpang Jeram berkata, keputusan melantik Andrew Chen dibuat susulan Chin Tong telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri baru-baru ini.

“PH Johor berterima kasih atas khidmat terbaik diberikan, Chin Tong yang juga ADUN Perling dan Pengerusi DAP Johor sebagai Ketua Pembangkang DUN Johor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Kami yakin Andrew Chen yang merupakan ADUN Stulang selama tiga penggal sejak 2013 dapat meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang DUN Johor dengan lebih baik,” katanya pada sidang akhbar selepas sidang DUN Johor hari ini.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menggesa kerajaan negeri memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada Ketua Pembangkang DUN Johor memandangkan peranannya cukup penting dalam pentadbiran negeri.

“Kami mencadangkan supaya Ketua Pembangkang DUN Johor diberi peruntukkan seperti mana yang diterima oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Johor.

“Cadangan ini selaras dengan iltizam PH Johor untuk memainkan peranan pembangkang yang konstruktif dalam usaha menjadikan Johor lebih baik untuk Bangsa Johor,” katanya. –MalaysiaGazette



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo