NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usia 88 tahun, Uncle Ong ‘steady’ lari 10km kurang 2 jam

Ong Kim Hwa berlari bukan untuk bertanding tetapi mahu capai sasaran rekod terbaiknya habiskan larian 10km dalam 1 jam 19 minit.

PETALING JAYA: Melihat susuk tubuh Ong Kim Hwa yang berusia 88 tahun, mungkin ramai tidak menyangka dia baru sahaja menamatkan larian sejauh 10km dalam masa 1 jam 19 minit bersama cucunya.

Tidak menunjukkan sebarang tanda penat, Ong masih mampu “berdiri gagah” melayan peserta larian lain yang bertemu dengannya untuk memberitahu rasa kagum mereka terhadap kemampuan warga emas berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu.

Ditemui FMT, Ong berkata dia sebenarnya hanya aktif menyertai kejohanan larian pada usia 53 tahun selepas diajak rakannya dan semangat bertambah apabila isterinya turut bersetuju berlari bersama.

Dia masih ingat acara pertama disertainya adalah “Seremban Half-Marathon” pada 1988. Motivasinya berlari bukan mahu mengejar rekod atau bertanding dengan sesiapa tetapi bapa kepada empat cahaya mata itu lebih berminat mencapai sasaran masa.

“Sekarang saya lari bukan mahu bertanding, saya ‘target’ masa lari, saya ‘target’ 1 jam 30 minit tapi hari ini 1 jam 19 minit sudah sampai. Saya gembira, bukan mahu bertanding, lari secara santai.

“Saya sudah lepas saya punya target masa saya sudah seronoklah, dapat dahulu orang muda bukan itu saya tiada kira, saya lari untuk target saya sendiri,” katanya ketika ditemui dalam sebuah acara lain di Putrajaya.

Ong mula dikenali selepas gambarnya ketika menjadi peserta tertua pada acara PJ Half Marathon 2022 tular di media sosial, warganet kagum dengan kemampuannya menghabiskan larian 10km dalam tempoh 1 jam 25 minit.

Tidak hairanlah jika Ong sentiasa menjadi tumpuan ramai dan lensa kamera setiap kali muncul dalam acara larian, rata-ratanya kagum dengan staminanya.

Kini, dia mempunyai “teman rapat” untuk menyertai acara larian iaitu cucunya, Samuel Ong yang berusia 33 tahun. Dia akan menguruskan penyertaannya mereka.

Kehadiran Samuel menemani datuknya sedikit sebanyak melegakan ahli keluarganya lain. Kesungguhan Ong menyertai acara larian membuatkan Samuel terharu dan tidak keberatan mengambil tanggungjawab itu.

“Mereka (keluarga) ada risau sikit tetapi lepas dah pujuk semua, semua ok dan bersetuju untuk bagi dia menyertai maraton tetapi dengan syarat ada penjaga macam saya dan anaknya.

“Saya sebagai cucu sudah tentu sokong, walaupun dia sudah tua dan ada persepsi negatif terhadapnya tetapi saya masih yakin terhadapnya kerana dia memang kaki maraton. Saya tiada keraguan pada umur 88 tahun ini dia boleh habiskan 10 km tanpa masalah,” katanya.

Malah Samuel menyifatkan dirinya bertuah kerana berpeluang meluangkan masa dan mencipta kenangan bersama datuknya yang sedang meniti usia senja.

“Saya rasa bertuah sebab ada peluang untuk berlari bersama datuk saya walaupun di sudah berusia, mungkin satu daripada sepuluh orang apa peluang sebegini, saya rasa amat bertuah dan bernasib baik mempunyai peluang sebegini.”

Namun di sebalik perasaan kagum, Ong juga tidak terlepas daripada mendapat pandangan yang seolah-olah meragui keupayaannya. Ong berkata, malah ada yang memintanya berhenti daripada menyertai acara larian jarak jauh kerana usianya.

“Ada orang cakap pada saya,’uncle you umur 88 tolonglah jangan lari lagi’, saya cakap saya tahu sendiri saya boleh lari ke tak boleh.”

Menurut Ong selagi kesihatannya mengizinkan dan usianya masih panjang dia akan terus bersemangat menyertai acara larian dan menjadi inspirasi kepada insan lain.


Sumber I FMT Malaysia




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo