NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Untung bersih suku ketiga IOI Property melonjak kepada RM640.29 juta

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- IOI Properties Group Bhd (IOIPG) mencatat keuntungan bersih suku pertama berakhir 30 Sept, 2022 yang melonjak kepada RM640.29 juta daripada RM208.81 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Perolehan hasil turut menokok 60 peratus kepada RM691.52 juta daripada RM431.77 juta sebelumnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata permulaan kukuh dalam tahun kewangan semasa itu disumbangkan oleh prestasi memberangsangkan oleh semua segmen perniagaan, terutama hospitaliti dan riadah yang mencatat pemulihan hasil lebih daripada 400 peratus.

“IOIPG terus merekodkan hasil mantap biarpun berdepan pelbagai cabaran. Saya yakin kami di landasan tepat untuk mencapai sasaran dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2023 berikutan kemampuan segmen perniagaan mencatat pertumbuhan mampan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Voon Tin Yow.

Segmen pembangunan hartanah IOIPG meraih hasil RM529.9 juta -- peningkatan 46 peratus daripada suku sama pada 2021 susulan jualan lebih tinggi daripada operasi Malaysia walaupun industri terjejas akibat tekanan inflasi dan gangguan rantaian bekalan global.

Bagi segmen pelaburan hartanah, hasil kumpulan itu melonjak 86 peratus kepada RM110.1 juta berbanding suku sama pada tahun lepas, didorong oleh impak asas rendah pada suku pertama tahun kewangan 2022.

Sebahagian daripadanya disumbangkan oleh permulaan pendapatan pajakan berulang daripada Fasa 2 IOI City Mall yang memulakan perniagaan pada 25 Ogos, 2022.

Sumbangan perolehan hasil daripada segmen perhotelan dan riadah juga meningkat kepada RM48.7 juta daripada RM7.6 juta pada suku sama 2021, didorong oleh pelancongan domestik yang berdaya tahan dan membolehkan industri perhotelan meraih semula momentum pertumbuhan.

Menurut kumpulan itu, langkah pengubahsuaian hotel seperti Putrajaya Marriott Hotel dan Palm Garden Hotel Putrajaya yang juga Tribute Portfolio Hotel, dijangka memberi jaminan dari segi menampung peningkatan pengunjung domestik dan asing.

IOIPG juga meletakkan harapan besar terhadap projek-projek dalam perancangan, kebanyakannya merangkumi pembangunan hartanah bertanah dan bertingkat bernilai RM1 bilion yang bakal dilancarkan di negara ini.

Voon berkata, kenaikan kadar faedah serta kos sara hidup turut meningkatkan lagi permintaan terhadap rumah berharga berpatutan dalam pasaran perumahan.

“Oleh itu, rangkaian produk kami akan kekal fleksibel untuk memenuhi permintaan segmen ini. Bagi membantu bakal pembeli, kumpulan ini turut melancarkan bantuan kewangan menarik menerusi IOI Finance dalam pakej jualan yang membabitkan projek-projek terpilih,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, IOIPG akan sentiasa peka terhadap cabaran global dalam usahanya mengharungi halangan yang melibatkan pertumbuhan kumpulan di Malaysia, Singapura dan China.

-- BERNAMA






Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo