NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO perlu buat EGM jika mahu sokong PH, Anwar - Jalaluddin


KUALA LUMPUR:
UMNO perlu melaksanakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) sekiranya mahu melaksanakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata ia berikutan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 sudah memutuskan parti itu menolak kerjasama dengan PH dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, katanya, sebarang perubahan keputusan yang bertentangan dengan ketetapan PAU 2020, khususnya bagi membentuk kerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan, hanya boleh dibuat menerusi EGM.

"Saya harus bersama dengan keputusan yang diambil kepemimpinan parti. Sebagai Ahli Parlimen, saya akan lihat dulu keputusan. Kita tidak buat sebarang keputusan untuk bersama (PH), saya masih berpegang dengan keputusan dibuat (PAU) UMNO, yakni tidak akan bekerjasama dengan PH.

"Parti perlu panggil EGM, tidak boleh diputuskan oleh mana-mana individu, termasuk saya pun (kerjasama kerjasama dengan PH, Anwar). Ini kerana parti sudah buat keputusan sebelum ini.

"Kalau ada keputusan selain itu (ketetapan PAU 2020), maka perlu ada ketetapan baharu yang dipersetujui semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita di Menara Dato' Onn, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan UMNO dan BN memutuskan untuk mengadakan kerjasama dengan PH dalam mesyuarat yang berlangsung hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen dan pimpinan tertinggi PH hadir ke Hotel Seri Pacific di sebelah ibu pejabat UMNO untuk berunding dengan pimpinan UMNO dan BN mengenai kerjasama membentuk kerajaan perpaduan.

Ia susulan Yang di-Pertuan Agong menitahkan parti dan gabungan politik yang berjaya membentuk kerjasama bagi memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah 112, untuk menamakan calon Perdana Menteri Ke-10 sebelum jam 2 petang ini.

Ia berikutan tiada mana-mana pihak yang berjaya memperoleh 112 kerusi Parlimen selepas PRU15 Sabtu lalu, menyebabkan tiada pihak dapat membentuk kerajaan sehingga hari ini.

Saingan untuk menjadi Perdana Menteri Ke-10 terarah kepada Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pada PRU15, PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, manakala PN pula mendapat 73 kerusi.

Untuk menubuhkan kerajaan, sesebuah parti atau gabungan parti perlu mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo