NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tuan Ibrahim ambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi

KUALA LUMPUR: Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengambil Tindakan undang-undang terhadap Timbalan Presien PKR, Mohd Rafizi Ramli berhubung kenyataan fitnah.

Surat tuntutan mengenai perkara itu telah diserahkan kepada Rafizi melalui firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid.

Berikut ialah kandungan surat tuntutan tersebut berhubung perkara Penyataan Fitnah Terhadap Yang Berhormat Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Firma kami merujuk kepada perkara di atas yang mana firma kami mewakili dan bertindak bagi pihak YB Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (selepas ini dirujuk sebagai “Anak guam”).

2.            Firma kami telah dimaklumkan oleh Anak guam kami seperti berikut:

2.1          Bahawa kamu telah, pada Isnin, 7 November 2022, bertempat di sebuah premis di Petaling Jaya dengan kehadiran pengamal-pengamal media, membuat satu sidang media yang mana kamu telah membuat satu kenyataan media secara lisan dan secara bertulis (“Kenyataan Media Pertama tersebut”) yang antara lainnya mendakwa:-

(a)          bahawa Anak guam kami selaku Menteri di Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang dalam proses untuk meluluskan projek bernilai RM2 billion ringgit kepada satu syarikat bernama Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus untuk kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2; dan

(b)          bahawa Anak guam kami terlibat dalam penganugerahan projek-projek di bawah Program Jana Wibawa secara rahsia.

2.2          Bahawa kamu telah, pada Rabu, 9 November 2022, bertempat di sebuah premis di Petaling Jaya dengan kehadiran pengamal- pengamal media, membuat satu sidang media yang mana kamu telah membuat satu kenyataan media secara lisan dan secara bertulis (“Kenyataan Media Kedua tersebut”) yang antara lainnya:-

(a)          Kamu mengulangi dakwaan bahawa terdapat perbincangan dan proses untuk meluluskan projek bernilai RM2 billion yang sedang berjalan dalam masa Kerajaan Caretaker melibatkan Anak guam kami yang mana melanggar undang- undang;

(b)          Kamu mendakwa bahawa Anak guam kami semasa menjalankan fungsi dan peranan selaku Menteri KASA telah meluluskan tiga projek KASA kepada Mangkubumi Sdn Bhd yang bernilai lebih RM2.3 Billion.

(Selepas ini kandungan di Perenggan 2.1(a) – (b) dan Perenggan 2.2(a) – (b) di atas dirujuk secara

kolektif sebagai “Penyataan-Penyataan Fitnah”)

A.            PENYIARAN KENYATAAN MEDIA PERTAMA TERSEBUT & KENYATAAN MEDIA KEDUA TERSEBUT

Penyiaran Kenyataan Media Pertama tersebut

3.            Berdasarkan kepada arahan yang diberikan oleh Anak guam kami dan juga berdasarkan rekod yang boleh dicapai oleh orang awam, firma kami telah diarahkan oleh Anak guam kami untuk menyatakan fakta-fakta jelas seperti berikut:

3.1          Berdasarkan kepada Perenggan 2.1 di atas, Kenyataan Media Pertama tersebut secara jelas telah disiarkan kepada pihak ketiga apabila kamu telah berucap berkenaan dengan Kenyataan Media Pertama tersebut di khalayak ramai terutamanya kepada pengamal-pengamal media yang hadir;

3.2          Pada tarikh 07.11.2022 jam 3:15 petang, kamu telah, melalui satu Facebook Page bernama “Rafizi Ramli” yang dimilik oleh kamu dan/atau dalam kawalan kamu (“Facebook Page tersebut”) memuatnaik satu posting yang mengulangsiar kandungan Kenyataan Media tersebut. Posting tersebut juga disertakan dengan gambar yang diedit seperti di bawah:

3.3          Setakat tarikh notis ini, posting tersebut telah mencatatkan 1,800 jumlah perkongsian dan lebih 2,500 jumlah komen dari mesyarakat awam;

3.4          Pada tarikh 07.11.2022, kamu telah, melalui satu laman sesawang bernama “Rafizi Ramli” yang dimilik oleh kamu dan/atau dalam kawalan kamu (“Laman Sesawang Pertama tersebut”) memuatnaik satu posting yang mengulangsiar kandungan Kenyataan Media tersebut dengan tajuk “Kerajaan Caretaker Tidak Boleh Membuat Anugerah Tender” yang mana pautannya adalah seperti berikut https://rafiziramli.com/2022/11/kerajaan-caretaker-tidak-boleh-membuat-anugerah- tender/. Hasil semakan mendapati posting tersebut dan juga Laman Sesawang Pertama tersebut boleh diakses oleh masyarakat awam tanpa sebarang sekatan dan/atau langganan;

3.5          Pada tarikh 07.11.2022, kamu telah, melalui satu laman sesawang bernama “Parti Keadilan Rakyat” yang dimilik oleh kamu dan/atau dalam kawalan kamu (“Laman Sesawang Kedua tersebut”) memuatnaik satu posting yang mengulangsiar kandungan Kenyataan Media tersebut dengan tajuk “Kerajaan Caretaker Tidak Boleh Membuat Anugerah Tender” yang mana pautannya adalah seperti berikut https://keadilanrakyat.org/index.php/kerajaan-caretaker-tidak-boleh-membuat- anugerah-tender/ Hasil semakan mendapati posting tersebut dan juga Laman Sesawang Kedua tersebut boleh diakses oleh masyarakat awam tanpa sebarang sekatan dan/atau langganan; dan

3.6          Kenyataan Media Pertama tersebut juga telah diulangsiar secara meluas dalam bentuk artikel dan video oleh agensi-agensi berita tempatan (termasuk oleh agensi berita FMT, BH Online, Astro Awani, Utusan Malaysia, Sinar Harian dan lain-lain) dalam pelbagai bahasa melalui platform-platform rasmi agensi-agensi berita terbabit.

Penyiaran Kenyataan Media Kedua tersebut

4.            Berdasarkan kepada arahan yang diberikan oleh Anak guam kami dan juga berdasarkan rekod yang boleh dicapai oleh orang awam, firma kami telah diarahkan oleh Anak guam kami untuk menyatakan fakta-fakta jelas seperti berikut:

4.1          Berdasarkan kepada Perenggan 2.2 di atas, Kenyataan Media Kedua tersebut secara jelas telah disiarkan kepada pihak ketiga apabila kamu telah berucap berkenaan dengan Kenyataan Media Kedua tersebut di khalayak ramai terutamanya kepada pengamal-pengamal media yang hadir;

4.2          Pada tarikh 09.11.2022 jam 11:39 pagi, kamu telah, melalui Facebook Page tersebut menyiarkan secara langsung Kenyataan Media tersebut. Setakat tarikh notis ini, posting tersebut telah mencatatkan 45,000 jumlah perkongsian dan lebih 2,100 jumlah komen dari mesyarakat awam;

4.3          Kenyataan Media Pertama tersebut juga telah diulangsiar secara meluas dalam bentuk artikel dan video oleh agensi-agensi berita tempatan (termasuk oleh agensi berita FMT, BH Online, Astro Awani, Utusan Malaysia, Sinar Harian dan lain-lain) dalam pelbagai bahasa melalui platform-platform rasmi agensi-agensi berita terbabit.

5.            Berdasarkan kepada kesemua fakta jelas sebagaimana yang dinyatakan di Perenggan 3.1 hingga Perenggan 3.6 dan Perenggan 4.1 hingga Perenggan 4.3 di atas, firma kami telah diarahkan oleh Anak guam kami untuk menyatakan bahawa Kenyataan Media Pertama tersebut dan Kenyataan Media Kedua tersebut telah disiarkan dan/atau didedahkan dan/atau diedarkan kepada masyarakat awam yang mana kamu berniat jelas supaya Kenyataan Media Pertama tersebut dan Kenyataan Media Kedua tersebut menjadi bacaan dan tontonan umum (public consumption) dan untuk menyampaikan tuduhan-tuduhan berkaitan Anak guam kami terutamanya Dakwaan tersebut.

B.            PENYATAAN & TUDUHAN FITNAH

Penyataan fitnah dalam Kenyataan Media Pertama tersebut

6.            Melalui Kenyataan Media Pertama tersebut dan lanjutan daripada Perenggan 2.1(a) dan Perenggan 2.1(b) di atas, kamu telah membuat penyataan dan tuduhan terhadap Anak guam kami yang mana kesemuanya berbentuk fitnah terhadap Anak guam kami. Kenyataan tersebut adalah sepertimana berikut:-

6.1          “Saya boleh mendedahkan bahawa kementerian yang dipimpin Timbalan Presiden PAS ini telah pun menganugerahkan satu tender bernilai RM578.6 juta kepada Mangkabumi Sdn Bhd untuk kerja-kerja menaiktaraf kolam tebatan banjir Krubong

– Durian Tunggal secara tender terhad (atau selektif) di bawah program Jana Wibawa… Program Jana Wibawa adalah projek-projek yang melibatkan peruntukan besar yang bermula sejak zaman Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang dianugerahkan kepada kontraktor-kotraktor Bumiputra tertentu dengan penuh kerahsiaan, terutamanya kerana ia melibatkan tempoh masa semasa kerajaan mengisytiharkan darurat akibat PKP” (Penekanan ditambah)

6.2          “Untuk hari ini, saya ingin mendedahkan bahawa dimaklumkan oleh pemberi maklumat dalaman bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang dalam proses untuk menganugerahkan satu projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat yang sama iaitu Mangkabumi Sdn Bhd. “ (Penekanan ditambah)

Penyataan fitnah dalam Kenyataan Media Kedua tersebut

7.            Melalui Kenyataan Media Kedua tersebut, kamu telah membuat penyataan dan tuduhan terhadap Anak guam kami yang mana kesemuanya berbentuk fitnah terhadap Anak guam kami. Kenyataan tersebut adalah sepertimana berikut:-

7.1          “Saya memang menyebut projek ini belum dianugerahkan. Tujuan saya membawa isu ini sekarang ialah kerana perbincangan dan proses itu sedang berjalan dan ada usaha untuk menganugerahkan projek itu dalam masa kerajaan caretaker yang melanggar undang-undang” (Penekanan ditambah)

7.2          “Jika pun Mangkubumi tidak terpalit dengan kes-kes jenayah komersial sebelum ini, syarikat itu telah pun mendapat jumlah projek yang begitu tinggi dari kementerian yang dikepalai Tuan Ibrahim, iaitu:

•             Loji Rawatan Kumbahan Serantau Dan Rangkaian Paip Pembetungan Di Papan, Daerah Kinta, Perak-Pakej 1 : Network (Reka & Bina) (No. Kontrak : KeTTHA/JPP/PAPAN 1/RMK10/15/K11) berjumlah RM828 juta seperti yang diumumkan KASA di capaian https://www.jpp.gov.my/pemlojirawatan9/

•             Pakej D47-Pembinaan Rangkaian Paip Pembentungan Di Kawasan Petaling Jaya (Utara), (Reka & Bina) (No Kontrak: KeTTHA/JPP/D47/GKL/NR/13/K6) berjumlah RM277 juta seperti yang diumumkan KASA di capaian https://www.jpp.gov.my/kerja-kerja- penyambungan-1/

•             Melalui satu lagi syarikat yang dikawal oleh pemilik Mangkubumi, iaitu Pintas Utama Sdn Bhd, Loji Rawatan Kumbahan Serantau Dan Rangkaian Paip

Pembetungan Di Papan, Daerah Kinta, Perak – Pakej 3: Other Network (Reka & Bina) berjumlah RM780 juta seperti yang diumumkan KASA di capaian https://www.jpp.gov.my/pemlojirawatan10/” (Penekanan ditambah)

C.            RUJUKAN KEPADA ANAK GUAM

8.            Berdasarkan kepada Penyataan-Penyataan Fitnah tersebut, kamu telah berulang kali merujuk kepada Anak Guam kami melalui jawatan dalam kerajaan yang dipegang oleh Anak guam kami sebelum pembubaran parlimen pada 10.10.2022 (“Pembubaran Parlimen tersebut”) dan pada ketika ini selaku Kerajaan Caretaker iaitu Menteri KASA dan juga jawatan politik selaku Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

D.            REKAAN & PENYELEWENGAN FAKTA SEBENAR

9.            Firma kami telah diarahkan oleh Anak guam kami bahawa Penyataan-Penyataan Fitnah tersebut adalah suatu pembohongan, tohmahan jahat dan penyelewengan yang direka-reka berdasarkan kepada versi fakta yang diputarbelit.

10.          Firma kami dengan ini diarahkan oleh Anak guam kami untuk menyatakan secara jelas fakta-fakta seperti berikut: –

Berkenaan dakwaan fitnah wujud rundingan untuk meluluskan projek bernilai RM2 Billion (Rujuk Perenggan 6.2 dan Perenggan 7.1 di atas)

10.1        Bahawa selepas pembubaran parlimen pada 10.10.2022, Anak guam kami telah memegang jawatan Menteri KASA dan menjalankan fungsi-fungsi Menteri selalu Kerajaan Caretaker;

10.2        Berdasarkan kepada Mesyuarat Khas Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pekhidmatan Bil. 1 Tahun 2022 pada 11.10.2022, Surat Pekeliling Kementerian Kewangan bertarikh 18.10.2022 berkaitan “Pelaksanaan Perolehan Kerajaan Selaras Peranan dan Fungsi Kerajaan Caretaker” serta Garis Panduan Peranan dan fungsi Kerajaan Caretaker yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 07.10.2022, Kerajaan Caretaker hendaklah mengelak daripada membuat apa-apa komitmen kontraktual dan/atau akujanji yang boleh membebankan dan/atau mengikat kerajaan baharu yang akan dibentuk selepas pilihanraya umum (selepas ini dirujuk sebagai “Peraturan-Peraturan tersebut”);

10.3        Berdasarkan kepada Peraturan-Peraturan tersebut, sepanjang tempoh Anak guam kami menjalankan fungsi dan peranan beliau selaku Menteri KASA selepas Pembubaran Parlimen tersebut, Anak guam kami selaku Menteri dan/atau melalui KASA tidak pernah memasuki dan/atau terlibat dalam sebarang rundingan dengan mana- mana individu atau syarikat bagi tujuan mendapatkan sebarang tender dari KASA;

10.4        Malah, sepanjang tempoh bermula dari Pembubaran Parlimen tersebut, KASA telah, atas arahan Anak guam kami selaku Menteri yang berkaitan, menangguhkan segala proses perolehan berkaitan Projek Tebatan Banjir secara Off-Budget (2023-2030) dan Kerja- Kerja Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat;

10.5        Oleh yang demikian, adalah tidak benar bahawa kononnya terdapat apa-apa rundingan dan/atau perbincangan dan/atau usaha untuk meluluskan sebarang projek sepanjang tempoh Anak guam kami memegang jawatan Menteri KASA selepas Pembubaran tersebut

Berkenaan dakwaan fitnah Projek Jana Wibawa dianugerahkan secara rahsia (Rujuk Perenggan 6.1 di atas)

10.6        Bahawa selain menandatangani surat setuju terima , Anak guam kami tidak pernah terlibat dalam proses awal rundingan dan penilaian mana-mana kontraktor/perunding bagi tujuan kelulusan dan penganugerahan sebarang tender dan projek KASA termasuklah projek kerja-kerja menaiktaraf kolam tebatan banjir Krubong – Durian Tunggal;

10.7        Sebaliknya, segala proses perolehan termasuk projek di atas telah dijalankan dan telah melalui proses perolehan yang sebetulnya seperti yang ditetapkan dan digariskan oleh undang-undang;

10.8        Perolehan projek secara rundingan terus juga adalah dibenarkan dan merupakan sebahagian daripada proses yang ditetapkan oleh undang-undang dan tidak terjumlah kepada apa-apa bentuk kerahsiaan;

10.9        Malah, fakta bahawa Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob; Perdana Menteri pada ketika ini telah membuat pengumuman berkenaan projek tersebut kepada media juga menunjukkan tidak terdapat sebarang bentuk kerahsiaan sepertimana naratif yang cuba disampaikan dalam Kenyataan Media Pertama tersebut;

10.10     Ianya juga telah diluluskan sebelum Pembubaran tersebut yang mana tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada terutamanya Peraturan-Peraturan tersebut;

10.11     Oleh yang demikian, adalah tidak benar bahawa kononnya tender di bawah Projek Jana Wibawa telah dianugerahkan secara rahsia oleh Anak guam kami.

Berkenaan dakwaan fitnah Anak guam kami telah meluluskan lain-lain projek kepada syarikat Mangkubumi (Rujuk Perenggan 7.2 di atas)

10.12     Anak guam kami hanya mula memegang portfolio Menteri KASA pada 10.03.2020 di bawah pimpinan Tan Sri Dato’ (Dr.) Haji Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri pada ketika itu;

10.13     Manakala kesemua ketiga-tiga projek yang disebutkan dalam Kenyataan Media Kedua tersebut telah diawardkan kepada syarikat Mangkubumi pada sekitar tahun 2013 hingga tahun 2017 iaitu sebelum Anak guam kami bertindak selaku Menteri KASA;

10.14     Oleh yang demikian, adalah tidak benar bahawa kononnya Anak guam kami telah meluluskan projek-projek bernilai lebih RM2.3 billion kepada syarikat Mangkubumi semasa mengetuai KASA selaku Menteri.

11.          Firma kami juga telah diarahkan oleh Anak guam kami untuk menegaskan bahawa berdasarkan kepada Penyataan-Penyataan Fitnah tersebut, melalui makna lazim dan/atau kebiasaan dan/atau tersirat dan/atau secara innuendo, Pernyataan-Pernyataan Fitnah tersebut telah memberikan maksud tersurat dan/atau tersurat dan/atau secara implikasinya dan/atau dalam bentuk dakwaan sepertimana berikut:

11.1        Bahawa Anak guam kami telah menyalahgunakan jawatannya selaku Menteri KASA;

11.2        Bahawa Anak guam kami tidak mengetahui fungsi dan peranannya selaku Menteri KASA dalam tempoh pelaksanaan Kerajaan Caretaker dan tidak mempunyai kelayakan untuk memegang jawatan tersebut;

11.3        Bahawa Anak guam kami tidak ambil peduli tentang peraturan dan undang-undang sedia ada;

11.4        Bahawa Anak guam kami adalah seorang yang tidak amanah, korup, tidak menghormati undang-undang dan tidak bermoral;

11.5        Bahawa Anak guam kami terlibat dalam rasuah dan/atau apa-apa aktiviti yang tidak amanah;

11.6        Bahawa Anak guam kami telah memperguna dan memperalat KASA bagi menguntungkan sesuatu syarikat dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan peribadi dan untuk memenuhi agenda politik Anak guam kami;

11.7        Bahawa Anak guam kami adalah seorang yang tidak islamik dan tidak mengamalkan nilai Islam seperti yang diperjuangkan; dan

11.8        Bahawa Anak guam kami tidak ambil peduli dan/atau ambil berat dan/atau endah dan/atau sensitif tentang tuntutan dan tanggungjawab tugasnya sebagai penjawat awam dan/atau kepada masyarakat awam di dalam negara.

12.          Berdasarkan kepada alasan-alasan di atas, kamu telah secara jelas memfitnah Anak guam kami dan telah merendah-rendahkan maruah Anak guam kami di mata masyarakat yang mana telah menjejasan reputasi Anak guam kami samada dalam kapasiti peribadi ataupun kapisiti profesional.

E.            BUTIRAN NIAT JAHAT

13.          Firma kami juga diarahkan oleh Anak guam kami untuk menyatakan bahawa tindakan kamu mengeluarkan Penyataan-Penyataan Fitnah tersebut telah dibuat dengan niat jahat dan didorong oleh dendam, permusuhan peribadi dan/atau motif yang tidak wajar dan/atau tidak lebih dari sekadar satu tindakan sensasi bagi menjatuhkan reputasi Anak guam kami di mata masyarakat demi kepentingan peribadi dan politik. Niat jahat kamu dapat dilihat berdasarkan kepada perkara- perkara berikut:-

Menjatuhkan calon parti lain di Parlimen Pandan

13.1        Kamu merupakan salah seorang calon pilihanraya bagi Parlimen Pandan yang bertanding di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat. Antara pencabar bagi kerusi Parlimen Pandan adalah calon dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS); Muhammad Farique bin Zubir Albakri. Tindakan kamu yang membuat kenyataan fitnah terhadap Anak guam kami dan dengan secara khusus menyebut jawatan Anak guam kami selaku Timbalan Presiden PAS

merupakan satu bahan kempen dan serangan politik bagi tujuan memburuk-burukkan parti PAS yang meletakkan calon di kerusi parlimen yang sama supaya ianya dapat memberi kelebihan kepada kempen kamu di Parlimen Pandan;

Bahan kempen bagi tujuan pilihan raya

13.2        Penyataan-Penyataan Fitnah tersebut juga dibangkitkan dalam tempoh Pilihanraya Umum Ke-15 yang jelas merupakan sebahagian daripada bahan kempen. Untuk rekod, Penyataan-Penyataan Fitnah tersebut adalah jelas melanggar larangan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4A dan Seksyen 11(1)(d) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5). Oleh yang demikian, kamu telah secara jelas melakukan kesalahan di bawah Akta 5 terbabit; dan

Gagal memohon penjelasan daripada Anak guam kami dan/atau melaporkan kepada pihak berkuasa

13.3        Kamu juga mempunyai peluang dan medium untuk berhubung secara terus dengan Anak guam bagi mendapatkan apa-apa penjelasan dan/atau melaporkan apa-apa salah laku kepada pihak berkuasa untuk siasatan. Sebaliknya, kamu memilih untuk mensensasikan perkara ini dengan membuat dakwaan kepada masyarakat awam tanpa sebarang usul periksa dan tanpa apa-apa bukti dokumen bertulis daripada mana-mana sumber. Adalah jelas bahawa perbuatan kamu adalah semata-mata untuk tujuan kempen pilihanraya tanpa sebarang niat untuk mendapatkan kebenaran dan penjelasan daripada Anak guam kami dan/atau daripada siasatan pihak berkuasa.

Berdasarkan kepada perkara-perkara di atas, kami telah diarahkan oleh Anak guam kami, yang mana kami lakukan sekarang ini, menuntut seperti berikut:

(a)          Bahawa kamu, dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh penerimaan surat ini, mengeluarkan satu akujanji bertulis kepada firma kami bahawa kamu akan berhenti dari menerbitkan dan/atau menulis dan/atau mengeluarkan dalam apa cara sekali pun kenyataan yang serupa dan/atau penyataan dan/atau komen dan/atau artikel dan/atau posting di mana-mana laman sosial/sesawang dan/atau video dan/atau apa-apa kaedah lain yang serupa dan membawa maksud yang sama dengan Penyataan-Penyataan Fitnah tersebut dalam apa bentuk dan cara sekalipun;

(b)          Bahawa kamu, dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh penerimaan surat ini, mengeluarkan satu deraf permohonan maaf berkaitan dengan Penyataan-Penyataan Fitnah yang terkandung dalam Kenyataan Media tersebut kepada firma kami untuk tujuan penerbitan segera di lokasi yang mudah dilihat dan dengan cara yang ketara melalui akhbar, secara berkala atau tidak berkala, laman sesawang dan dalam mana-mana platform internet atau media sosial pilihan Anak guam kami yang mana kesemuanya adalah dibawah perbelanjaan kamu setelah Anak guam kami bersetuju dengan kandungan deraf permohonan maaf tersebut dan tertakluk kepada pindaan yang perlu dilakukan oleh Anak guam kami selepas daripada itu; dan

(c)           Bahawa kamu, dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh penerimaan surat ini, mencadangkan satu jumlah gantirugi yang munasabah kepada Anak guam kami yang mana jumlah yang dipersetujui tersebut perlu dibayar serta-merta setelah pihak-pihak mencapai persetujuam berkenaan dengan jumlah kuantum gantirugi.

AMBIL MAKLUM bahawa sekiranya kamu gagal untuk mematuhi tuntutan-tuntutan di atas, firma kami mempunyai arahan tegas Anak guam kami untuk mengambil langkah-langkah selanjutnya yang dianggap perlu tanpa membuat apa-apa rujukan kepada kamu termasuklah untuk memulakan tindakan undang- undang dan/atau mendapatkan perintah injunksi yang diperlukan terhadap kamu yang mana kamu akan bertanggungjawab terhadap apa-apa kos dan perbelanjaaan bagi tujuan tersebut.

AMBIK MAKLUM bahawa sekiranya Anak guam kami terpaksa memulakan prosiding undang-undang terhadap kamu, tuntutan-tuntutan di atas tidak boleh dianggap dan/atau diambil kira untuk menghadkan tuntutan Anak guam kami terhadap kamu.

Yang benar,
YUSFARIZAL AZIZ & ZAID

S/k: YB Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo