NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada sebarang perbincangan rasmi untuk PN bergabung dengan pihak lain - Mohamed Azmin


KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) tidak mengadakan sebarang perbincangan rasmi untuk bergabung dengan mana-mana pihak kerana tumpuan ketika ini adalah memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

 Ketua Penerangan PN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata gabungan itu akan menggunakan peluang berkempen untuk meyakinkan rakyat tentang dasar PN yang properniagaan, mewujudkan pekerjaan serta menjamin kepedulian dan keprihatinan kepada rakyat.

"Tidak ada sebarang perbincangan rasmi untuk bergabung dengan mana-mana pihak kerana tumpuan kita (PN) adalah untuk kemenangan PN di kawasan yang kita bertanding," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Kemensah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan berkata BN sedia bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti sekiranya gagal mendapat majoriti mudah.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga calon PN di Parlimen Gombak berkata antara cabaran PRU15 bukan sahaja mempertahankan sokongan tetapi perlu mendekati hampir 70,000 pengundi baharu di parlimen itu.

Katanya pengundi Gombak yang semakin pesat kini mencecah 206,000 pengundi berbanding 140,000 orang empat tahun lepas.

Beliau berkata pengundi perlu memberi peluang kepada Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana beliau yang menjadi Perdana Menteri ketika negara dilanda COVID-19 telah berjaya menguruskan negara yang berdepan krisis pandemik.

Mohamed Azmin berkata tumpuan Muhyiddin ketika itu adalah keselamatan rakyat serta mencergaskan semula ekonomi negara.

Menurut Mohamed Azmin, Pakatan Harapan (PH) pernah mendapat sokongan rakyat namun ketika berkuasa mentadbir negara, ada parti yang mendominasi PH telah mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Katanya ini terbukti apabila kekalahan PH dalam enam Pilihan Raya Kecil (PRK) ketika gabungan itu memerintah negara.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berdepan saingan lima penjuru dalam usaha mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada PRU15.

Beliau ditentang Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (PH-PKR), Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN-UMNO), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Pejuang) dan calon bebas Zulkifli Ahmad.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Gombak dimenangi Mohamed Azmin yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 48,721 undi dalam pertembungan tiga penjuru menewaskan Datuk Abdul Rahim Kamarudin (BN) dan Khairil Nizam (PAS).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov ini sebagai tarikh mengundi dengan pengundian awal pada 15 Nov.

-- BERNAMA


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo