NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Tanggungjawab pecat ahli keputusan MKT, bukan Presiden UMNO'


PUTRAJAYA:
Presiden UMNO tidak boleh memecat mana-mana ahli tanpa melalui keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

Penganalisis politik merangkap pengamal undang-undang, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata dalam soal memecat ahli, tanggungjawab itu kebiasaannya dilakukan Lembaga Disiplin parti dan bukannya Presiden.

"Ia bukan sebab masalah perlembagaan UMNO, sebab dalam UMNO, jika berlaku seseorang ahli tidak mematuhi peraturan parti, memang boleh dipecat. Tetapi biasanya (tindakan) pecat itu bukanlah oleh Presiden, sepatutnya oleh Lembaga Disiplin parti.

"Bagaimanapun, sekarang kita lihat ramai yang kena pecat tanpa melalui Lembaga Disiplin, mungkin pada pandangan UMNO kesalahan dilakukan itu terlampau berat.

"Kuasa Presiden untuk pecat orang sebenarnya perlu melalui keputusan MKT, tidak boleh dilakukan seorang diri," katanya kepada BH, hari ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini, berkata mana-mana Ahli Parlimen BN yang menandatangani sebarang dokumen terutama surat akuan bersumpah (SD) untuk menamakan sesiapa saja sebagai Perdana Menteri adalah tidak sah dan tindakan itu melanggar perlembagaan parti.

Mengulas isu pemecatan dan SD, Shamsuddin berkata, biarpun ahli itu berdepan tindakan pemecatan, statusnya sebagai Ahli Parlimen tidak gugur.

"Selaras dengan undang-undang larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, apa yang saya faham jelas menyatakan walaupun dipecat oleh partinya atau parti dibubar, keahlian sebagai wakil rakyat tidak gugur," katanya.

Bagaimanapun, Shamsuddin berkata, bukan isu melanggar peraturan parti yang perlu ditumpukan sebaliknya bagaimana mahu memilih Perdana Menteri yang melalui sokongan ahli Dewan Rakyat yang melebihi majoriti mudah 112.

"Siapa yang hendak dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk baginda yakin dan percaya individu itu boleh menjadi Perdana Menteri, maknanya dia mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Contohnya, kalau mengundi untuk pelantikan Speaker, jika dia tidak mengundi Speaker yang dikemukakan oleh partinya, saya tidak nampak itu satu masalah.

"Sebab dia ada dua atau lebih pilihan dan dia berpandangan ada calon Speaker yang lebih baik, ada kelulusan jadi Speaker itu dipilih, ia bukan kesalahan," katanya.

Beliau berkata, situasi sama berlaku ketika ini untuk memilih Perdana Menteri yang mana jika seseorang itu yakin Perdana Menteri berkenaan boleh menyebabkan kerajaan stabil, SD akan dibuat.

"Namun, saya tidak fikir tindakan membuat SD itu dikatakan bertentangan dengan parti, sebab ia bukan masalah sebagai ahli parti, itu hak dia sebagai ahli Parlimen yang ada bidang kuasa berasingan, sebagai ahli parti pula ada disiplin berasingan," katanya.

Shamsuddin berkata, sekiranya parti terlalu 'rigid' berkaitan perlu mengikut arahan parti, perkara berkait pelantikan Perdana Menteri tidak akan selesai.

"Paling penting sekarang ialah negara perlu ada Perdana Menteri supaya Bajet 2023 dapat dibentang dan dilulus semula untuk membolehkan ekonomi negara berjalan dengan baik.

"Jika kemelut pelantikan Perdana Menteri berterusan, rakyat juga akan marah kerana tanggungjawab mereka mengundi pemimpin yang dikehendaki sudah dilunaskan.

"Pada saya, Datuk Seri Hishamuddin Hussein sudah menyatakan dia akan menyokong apa yang disarankan parti dan sanggup dipecat. Jadi, dia tahu walaupun dipecat kelak, keahliannya sebagai calon menang kerusi Parlimen tidak gugur," katanya.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo