NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Surat kepada Agong, Zahid tidak layak pimpin BN, kata MCA

KUALA LUMPUR: MCA percaya Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin Barisan Nasional (BN) sebagai pengerusi, kata Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.

Ini susulan surat yang dihantar Zahid kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertarikh 22 November 2022.

Beliau menegaskan bahawa isi kandungan surat bertarikh 22 November 2022 dengan menggunakan kepala surat (letterhead) BN yang ditandatangani Zahid selaku Pengerusi BN mengenai BN memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, bukanlah keputusan yang dibuat secara konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, pada 22 November (semalam).

Sebaliknya, kata beliau Dewan Tertinggi BN kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini.

“Apa yang berlaku dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi, MCA dan parti-parti komponen BN telah mempersoalkan tindakan YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilihat secara jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada mulanya Zahid cuba menafikan mengenai surat tersebut, namun mengakuinya selepas salah seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih.

“Surat yang diserahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu secara jelas melanggar ketetapan yang dibuat oleh Dewan Tertinggi BN dan dilihat mempersembahkan maklumat salah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru itu, MCA percaya YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin BN sebagai Pengerusi dan sekali lagi menggesa agar beliau meletakkan jawatan secara terhormat seterusnya digantikan dengan YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan seperti yang disarankan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi,” jelasnya. 
( Hide )

© all rights reserved
made with by templateszoo