NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sokongan pemilih Melayu kini berpusat pada Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis


KEJAYAAN PN memenangi 73 kerusi Parlimen dalam PRU15 disebabkan gelombang pengundi Melayu yang mahu memilih gabungan selamat dan boleh dipercayai, kata penganalisis.

Mereka turut menyaksikan kegagalan PH menjamin sokongan pengundi muda yang menyebabkan sokongan gabungan tersebut juga merosot.

Salah seorang darinya Mazlan Ali memberitahu The Malaysian Insight, keputusan PRU15 menunjukkan pengundi Melayu yang sebelum ini dikuasai Umno dan BN beralih ke PN.

“Mereka mencari parti Melayu yang lebih selamat, cuma kita tidak menjangkakan gelombang itu begitu besar sehingga menyebabkan berlakunya tsunami Melayu,” katanya.

Undi pengundi Melayu itu beralih disebabkan mereka berasa BN terpalit begitu banyak isu integriti, manakala PH pula dilihat mempunyai stigma yang tidak disenangi segmen pengundi tersebut.

“Nak pergi ke PH tak boleh, ada stigma. Kempen PN pula membawa agenda Melayu, jadi menarik orang Melayu menyebabkan mereka memilih mencari alternatif meninggalkan Umno.

“Yang paling sesuai adalah PN,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kumpulan pengundi muda dan pemilih kali pertama juga marah dengan isu rasuah dan salah guna kuasa pemimpin utama BN yang menyebabkan mereka beralih kepada PN.

Golongan penyokong tegar BN yang ditakrifnya sebagai kumpulan Melayu subjek juga beralih ke PN yang dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, dan dua parti Sabah, Star dan SAPP, katanya.

“Orang muda, pengundi atas pagar mereka mahukan jaminan, mereka ini antaranya graduan yang baharu keluar universiti, gaji pertama baru RM1,500 tapi (bila lihat) pemimpin Umno sakau duit, mereka marah.

“Bagi kumpulan Melayu subjek, iaitu mereka yang setia kepada parti, dan kuat semangat Islam, mereka marahkan Umno dan pergi kepada PN,” katanya.

Di Permatang Pauh, PN berjaya tamatkan penguasaan keluarga Presiden PKR Anwar Ibrahim selama 40 tahun di kerusi itu, apabila penyandang Nurul Izzah tewas dengan majoriti 5,272. – Gambar Facebook, 22 November, 2022.
Di Permatang Pauh, PN berjaya tamatkan penguasaan keluarga Presiden PKR Anwar Ibrahim selama 40 tahun di kerusi itu, apabila penyandang Nurul Izzah tewas dengan majoriti 5,272. – Gambar Facebook, 22 November, 2022.

Keputusan kelmarin menyaksikan BN hilang sokongan di hampir separuh kawasan tradisinya apabila 29 kerusi dirampas PN terutamanya di negeri pantai timur dan utara.

“Sepatutnya Umno boleh menang sehingga 80, 90 kerusi tetapi banyak undi Melayu dah lari dan tak sokong Umno,” kata Mazlan lagi.

Salah satu contoh dikesan di Kuala Krau, Pahang apabila penyandang Ismail Mohamed Said tewas kepada Kamal Ashaari yang menang dengan majoriti 1,024 undi dari 25,505 undi diperolehinya.

Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu gagal mempertahankan kerusi yang disandangnya selama empat penggal apabila memperolehi 21,481 undi.

Kuala Krau salah satu kerusi dengan jumlah pengundi Melayu yang besar di Pahang, sekitar 90%.

Gelombang itu juga menyebabkan BN kini tidak mempunyai wakil Parlimen di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Melaka dan Selangor.

Tidak cukup dengan itu, PN berjaya menamatkan dominasi BN di kerusi negeri, antaranya menyapu bersih 14 daripada 15 kerusi DUN di Perlis.

BN dalam penggal lalu menang di 10 DUN sementara PKR tiga kerusi, manakala PAS hanya menang di dua DUN sahaja.

Di Pahang PN menang 17 kerusi negeri –15 dimenangi PAS, dua lagi dimenangi wakil Bersatu manakala BN menang di 16 kerusi diikuti PH, tujuh kerusi.

BN hilang penguasaan di negeri itu, sedangkan sebelum ini gabungan itu menguasai 25 daripada daripada 42 kerusi DUN Pahang.

Begitu juga di Perak, PN menguasai 26 DUN melalui 16 daripada PAS dan Bersatu 10. PH menguasai 24 kerusi dan BN sekadar menang di sembilan kerusi.

Selain memecahkan kubu Melayu BN, PN juga berjaya merampas kira-kira 17 kerusi dimenangi PH pada PRU14 termasuk beberapa kerusi tradisi seperti Permatang Pauh.

Di Permatang Pauh, PN berjaya menamatkan penguasaan keluarga Presiden PKR Anwar Ibrahim selama 40 tahun di kerusi itu, apabila penyandang Nurul Izzah Anwar tewas.

Calon PN Muhammad Fawwaz Mat Jan mengatasi Nurul Izzah dengan majoriti 5,272 apabila meraih 37,638 undi di kerusi dengan sekitar 70% pengundi Melayu itu.

Dalam PRU14, Nurul Izzah memperolehi 35,534 undi tetapi kali ini merosot ke 32,366 dalam hasil pertandingan empat penjuru termasuk dengan calon BN dan Pejuang.

Selain itu, PN juga berjaya menewaskan PH di kerusi Parlimen Hulu Selangor apabila calonnya Hasnizan Harun memperolehi sebanyak 46,823 dan undi majoriti sebanyak 1,562.

Hasnizan menewaskan Dr Sathia Prakash Nadarajan (PH), T Mohan (BN), Harumaini Omar (Pejuang), Haniza Talha (Parti Bangsa Malaysia), dan Azlinda Baroni (Bebas).

Dalam PRU14, PH menang kerusi Hulu Selangor melalui calonnya June Leow Hsiad Hui, di kawasan yang mempunyai kira-kira 60% pengundi Melayu itu.

PN juga menang di dua kerusi utama Pejuang iaitu Langkawi dan Jerlun yang masing-masing disandang pengerusi parti baharu tersebut Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz Mahathir.

Mazlan menganggarkan PN berjaya memperolehi kira-kira 65% sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya yang berlangsung Sabtu lalu.

“PH pula berjaya memperolehi sekitar 15% hingga 20% sokongan pengundi Melayu,” katanya.

Dalam PRU14, penyelidik Merdeka Centre menganggarkan peralihan pengundi Melayu kepada PH berada dalam kadar antara 25% hingga 30%.

Penyelidik itu menganggarkan pengundi Melayu yang menyokong BN pula antara 35% hingga 40% dan PAS mendapat antara 30 hingga 33%.

Ilham Centre pula waktu itu menganggarkan pada PRU14, PH menerima sokongan kira-kira 11% daripada pengundi Melayu.

Badan penyelidik itu bagaimanapun mengingatkan lebihan 11% yang diterima PH waktu itu bukanlah sokongan “tulen” kerana itu pengundi Umno dan PAS.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar memberitahu The Malaysian Insight, peralihan undi daripada BN dan PH kepada PN kali ini berlaku di saat-saat akhir tempoh kempen PRU15.

Peralihan itu katanya berlaku di kawasan jajaran Melayu, terutamanya di utara semenanjung seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak, dan juga pantai timur iaitu Pahang, Kelantan, dan Terengganu.

Data dari Politweet, platform analisis data media sosial menunjukkan peralihan pengundian kepada PN terbesar di Perlis iaitu sekitar 31.21%, diikuti Putrajaya 28.87%, dan Kedah sekitar 23.41%.

Kawasan negeri lain menunjukkan peralihan sekitar 12% ke 19%, kata Hisomuddin.

“(Peralihan undi Melayu di) kebanyakan negeri pantai barat diseimbangkan semula dengan undi yang diterima daripada pengundi bukan Melayu (apabila) ditimbus dengan sokongan bukan Melayu,” katanya.

Tambahnya, kekuatan PN menggunakan medium media baharu seperti Tik Tok menjadikan mereka dilihat lebih terkehadapan berbanding dua gabungan lain, khususnya PH.

Walhal gabungan PH mendominasi ruang siber bagi menarik sokongan ke atas gabungan itu dalam PRU13 dan PRU14, kata Hisomuddin.

“Ternyata PH pilih cara sama, berhimpun dalam ceramah dan tukarkan (isi kandungan) ke dalam Facebook dan YouTube…itu cara lama.

“Mereka masih kekalkan rentak lama, sedangkan itu tak menarik minat mereka generasi baharu, itu perkembangan yang berlaku.

“PH syok sendiri dalam dunia mereka hingga mereka terlepas pengundi muda, BN pula terus tenggelam dalam peperangan media sosial hingga mereka gagal memberikan saingan kepada PN.”

Siri protes senyap jentera BN disebabkan pengguguran ketua perang mereka yang tidak selari dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut menjadi faktor BN tersungkur, katanya.

“Berlaku pertukaran besar calon BN sebabkan berlakunya protes senyap, dan juga sabotaj secara senyap yang bagi saya memang menyebabkan kerusi boleh menang BN jatuh kepada kerusi kalah.

“Apabila jentera mereka protes senyap, PDM tak berfungsi, menyebabkan jentera PN (menguasai) dari segi perang benderanya, ternyata mereka menguasai perang bendera, poster dan mereka bermaharajalela.

“Masuk ke dalam kawasan BN tanpa ada persaingan dan tentangan disebabkam jentera protes. Mereka biarkan jentera PN menjarah sebebas-bebasnya,” kata Hisomuddin.

Kempen di TikTok dan perang psikologi menggunakan bendera dan poster ini membuatkan kumpulan pengundi atas pagar ini merasakan PN sudah berjaya menewaskan BN, katanya.

“Secara psikologinya mereka tengok siapa yang kuat, jadi PN nampak lebih gah dan BN tak boleh melawan sedangkan PH hanya gah di kawasan bandar dan disokong pengundi bukan Melayu, serta segelintir Melayu bandar.

“Itu sebabnya PN berjaya menewaskan Umno secara total,” tambahnya.

Keputusan itu juga menunjukkan sokongan pengundi Melayu yang selama ini berpusat pada Umno kini berubah kepada PN.

“Terlalu besar, atas pagar dan pengundi pertama kali mengubah pola pengundian secara total kepada PN dan jadikan PN adalah parti tunggak orang Melayu untuk tempat mereka bergantung harap.

“Dulu Umno, tetapi sekarang beralih kiblat baharu, iaitu kepada PAS dan Bersatu. Ini yang terjadi apabila kelompok atas pagar berikan kepercayaan mereka,” tambahnya.  – 22 November, 2022.

Mohd Farhan Darwis




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo