NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sidang DUN: Kemajuan projek ECRL Terengganu lebih 40 peratus

Sidang DUN: Kemajuan projek ECRL Terengganu lebih 40 peratus
Mamad pada sesi soal jawab pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU:
Kerja-kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu sudah mencapai kemajuan sebanyak 43.96 peratus setakat Oktober lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi negeri, Mamad Puteh berkata perkembangan tersebut sudah mengatasi kemajuan keseluruhan projek ECRL iaitu 35.9 peratus.
Beliau berkata berdasarkan perkembangan itu, pihaknya yakin projek berkenaan dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan iaitu pada 2026.

"Status kemajuan bagi daerah Dungun melibatkan kerja fizikal telah siap dibina merangkumi 20 kilometer kerja-kerja tanah dan pembinaan dua terowong iaitu sepanjang 851 meter di Bukit Bauk dan 1,110 meter di Paka.

"Oleh itu, kerja-kerja pembinaan stesen keretapi di Dungun dijangka dapat dimulakan tahun depan, sekarang ini di peringkat kerja reka bentuk," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Mamad menjawab pertanyaan Alias Harun (Pas-Rantau Abang) mengenai status kemajuan pembangunan ECRL di Terengganu khususnya di Dungun.

Menjawab pertanyaan tambahan Alias mengenai perbandingan kemajuan projek ECRL di negeri lain, Mamad berkata Terengganu telah mencapai perkembangan paling tinggi berbanding Pahang iaitu sebanyak 33.2 peratus, Kelantan 41.6 peratus dan Selangor 2.13 peratus.

"Kemajuan ini adalah hasil kerjasama baik oleh jabatan-jabatan terlibat dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL). Kita tahu mereka selalu mengadakan mesyuarat bagi memastikan kerja-kerja berjalan lancar," katanya.

Enam stesen ECRL di Terengganu melibatkan dua stesen penumpang dan kargo di Dungun dan Chukai serta empat stesen penumpang di Jertih, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Kemasek.

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer membabitkan jajaran di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dibina dengan reka bentuk bebas daripada bencana banjir.

-- BERNAMA





........
Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo