NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Terengganu bayar RM472.78 juta hutang persekutuan - MB

Kerajaan Terengganu bayar RM472.78 juta hutang persekutuan - MB
Ahmad Samsuri mengakui Terengganu menghadapi kedudukan fiskal yang mencabar untuk berbelanja terutamanya bagi membangunkan projek-projek baharu. - Gambar fail

KUALA TERENGGANU:
Kerajaan Terengganu telah membuat bayaran hutang sebanyak RM472.78 juta kepada kerajaan Persekutuan bagi tempoh Januari 2019 hingga Jun lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata pada 2019, jumlah hutang yang dibayar ialah RM425.70 juta melalui pemotongan 25 peratus bayaran Wang Tunai Petroleum (WTP), diikuti RM31.86 juta pada 2020 melalui potongan lima peratus WTP.

"Seterusnya pada 2021, kerajaan negeri membayar hutang sebanyak RM15.20 juta secara tunai," katanya ketika menjawab soalan lisan Hilmi Harun (PAS-Manir) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Menurutnya baki pinjaman kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan setakat 30 Jun ialah sebanyak RM267.09 juta.

"Daripada jumlah itu, hutang tertinggi ialah untuk projek Rancangan Bekalan Air (RM226.7 juta), diikuti perumahan awam kos rendah (RM37.16 juta) dan projek-projek pembangunan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sebanyak RM3.2 juta," katanya.

Menjawab soalan tambahan Hilmi mengenai bebanan hutang berbanding hasil pendapatan kerajaan negeri, Ahmad Samsuri mengakui Terengganu menghadapi kedudukan fiskal yang mencabar untuk berbelanja terutamanya bagi membangunkan projek-projek baharu.

"Namun, kita masih berupaya menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan mengatur keutamaan dalam berbelanja dan berbelanja secara berhemah, justeru, inisiatif seperti bantuan tunai untuk menyokong kewangan rakyat yang terjejas dapat disampaikan.

"Begitu juga dengan peluang pekerjaan masih dapat diwujudkan dan projek perumahan rakyat dan rumah mampu milik juga dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat Negeri Terengganu," katanya.

-- BERNAMA






........
Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo