NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Seorang maut, 30 cedera dalam letupan bom kereta di Selatan Thailand

Letupan itu menyebabkan bangunan dan kenderaan di tempat letak kereta berhampiran kuarters polis berkenaan terbakar dan mengalami kerosakan teruk. – Gambar Facebook, 22 November, 2022.

SEKURANG-kurangnya seorang pegawai polis maut manakala 30 lagi termasuk orang awam cedera dalam insiden letupan bom kereta di pekarangan kuarters polis di Narathiwat, selatan Thailand hari ini.

Dalam insiden kira-kira 12.45  tengah hari (waktu tempatan), satu letupan dilaporkan di pekarangan kuarters polis apabila sebutir bom buatan sendiri yang dipasang dalam sebuah pikap dan diletupkan.

Setakat ini, Hospital  Narathiwat Rajanagarindra menyatakan sekurang-kurangnya 31 orang menerima rawatan di hospital termasuk tiga yang cedera parah.

Ketua Polis Daerah Narathiwat Kolonel Jeffrey Salaimankul berkata letupan itu turut mengakibatkan bangunan kuaters dan kenderaan polis serta orang awam mengalami kerosakan.

“Ia sebutir bom kereta. Siasatan awal berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup mendapati seorang lelaki memandu sebuah pikap ke tempat letak kereta di pekarangan kuaters polis sebelum beredar dari kawasan itu dengan menaiki sebuah motosikal.

“Bom buatan sendiri seberat lebih 50 kilogram dan dipasang pada tong gas dalam pikap itu  kemudiannya diletupkan,” katanya pada satu sidang media. 

Letupan itu menyebabkan bangunan dan kenderaan di tempat letak kereta berhampiran kuarters polis berkenaan terbakar dan mengalami kerosakan teruk.

Polis sedang menjejaki suspek dan menyiasat motif serangan.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Sementara itu, pemangku jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mengarahkan polis dan pasukan keselamatan mempercepatkan siasatan.

“Perdana Menteri turut mengarahkan agensi berkaitan meningkatkan langkah-langkah keselamatan di tempat awam,” katanya.

Ketua Polis Thailand Jen Damrongsak Kittiprapat turut melawat Narathiwat untuk memantau dan menyiasat insiden itu.

Statistik kumpulan pemantau bebas Deep South Watch menunjukkan kitaran keganasan yang berterusan di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla yang terletak di selatan Thailand bermula sejak 2004 yang meragut lebih 7,000 nyawa setakat ini.

Rundingan antara kerajaan dan pemberontak yang bermula pada 2013 untuk membawa keamanan menghadapi gangguan dan terhenti beberapa kali.

Perbincangan antara kerajaan Thailand dan BRN, kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, bermula pada 2019.

Selepas beberapa siri mesyuarat, rundingan itu dikatakan mencapai kemajuan konkrit dan penting yang membawa harapan untuk menamatkan keganasan di wilayah sempadan selatan Thailand. – Bernama, 22 November, 2022.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo